Anda di sini

Coman enggan dianggap sebagai pengganti Ribery

Advertisement
COMAN
COMAN

BERLIN: Pemain sayap Bayen Munich Kingsley Coman telah menyatakan dia berharap untuk keluar daripada bayang-bayang Franck Ribery apabila rakan senegara veteran itu meninggalkan Bayern.

Coman, 22, sudah sekian lama disebut-sebut sebagai pengganti semula jadi kepada Ribery, yang dijangka menamatkan pembabitannya yang gilang-gemilang selama 12 tahun di Bayern pada musim panas ini.

Namun dalam satu wawancara bersama majalah Kicker pada Khamis, Coman menegaskan dia bukan fotostat pemain sayap Perancis itu.

“Franck mempunyai kariernya dan saya ada karier saya. Saya bukan Ribery baharu, saya adalah diri saya sendiri,” katanya.

Selepas tidak bermain dalam babak pertama musim ini kerana cedera, Coman sudah mengukuhkan diri sebagai pemain tetap di bawah jurulatih Niko Kovac.

Pemain berusia 22 tahun itu, bahagian penting dalam perubahan generasi di Bayern di bawah Kovac, sudah menjadi pemain sayap kiri pilihan pertama sejak beberapa minggu lalu.

Dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 Bayern ke atas Duesseldorf pada Ahad lepas, tetapi memberitahu Kicker bahawa dia masih perlu meningkatkan diri.

“Sebagai pemain sayap, saya seharusnya menjaringkan lebih banyak gol,” katanya.

“Saya membawa banyak kualiti bagus, tetapi saya masih jauh sekali daripada menjadi kelas dunia.”

Coman, yang mengikat kontrak sehingga 2023, berkata dia dapat menandingi umur panjang Ribery sebagai pemain Bayern.

“Saya benar-benar dapat membayangkan diri kekal di sini bagi jangka panjang,” katanya. — AFP

Advertisement