Anda di sini

City alih tumpuan kepada kejuaraan EPL

Advertisement
 Pemain Hotspur meraikan kemenangan mereka ke atas Manchester City pada aksi suku akhir perlawanan kedua Liga Juara-Juara di Stadium Etihad pada 17 April lalu. — Gambar AFP
BERTEMBUNG LAGI: Pemain Hotspur meraikan kemenangan mereka ke atas Manchester City pada aksi suku akhir perlawanan kedua Liga Juara-Juara di Stadium Etihad pada 17 April lalu. — Gambar AFP

LONDON: Siri ketiga dalam trilogi Manchester City menentang Tottenham perlu menepati jangkaan selepas perlawanan klasik dalam Liga Juara-Juara menyaksikan Spurs menang berdasarkan gol di tempat lawan untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, pertemuan mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada malam ini (Sabtu) mempunyai implikasi amat besar bagi cubaan City untuk memenangi kejuaraan serta harapan Spurs untuk sekadar layak ke Liga Juara-Juara sekali lagi pada musim akan datang.

Para pemain Pep Guardiola perlu memenangi lima perlawanan lagi untuk menjadi pasukan pertama dalam tempoh sedekad yang mengekalkan kejuaraan EPL.

Bagaimanapun, Liverpool mendahului liga dengan kelebihan dua mata pada waktu ini selepas mereka bermain lebih satu perlawanan berbanding pesaing kejuaraan mereka.

City berada di landasan untuk memenangi empat kejuaraan yang luar biasa sebelum mereka gagal dengan cara paling dramatik pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara pada Rabu lepas.

Dengan kedua-dua pasukan yang terikat dengan agregat 4-4, Raheem Sterling menjaringkan gol yang dapat membantu City mara dalam masa tambahan, tetapi semakan Video Pembantu Pengadil (VAR) menolak gol itu kerana ofsaid.

“Kami perlu berdiri, kami perlu menunjukkan reaksi,” kata Guardiola.

“Kami banyak bertarung dalam tempoh sembilan atau 10 bulan lalu untuk EPL. Kami masih ada di sana, ia dalam tangan kami. Sudah tentulah ia sukar, tetapi kami perlu melakukannya sehingga ke akhir.”

Sumber tambahan City mungkin tidak bermakna sekali lagi di Eropah, tetapi ia mungkin ternyata perbezaan dengan jadual perlawanan yang begitu ketat bagi kedua-dua pasukan.

Guardiola mampu meletakkan Fernandinho, Leroy Sane, Riyad Mahrez, Gabriel Jesus, Nicolas Otamendi dan John Stones di bangku pemain simpanan pada pertengahan minggu.

Sebaliknya Tottenham masih bermain tanpa Harry Kane dan kini amat kekurangan tenaga di bahagian tengah selepas Moussa Sissoko terpaksa dikeluarkan kerana cedera pada pertengahan babak pertama Rabu lepas.

Jika mereka tewas dalam perlawanan liga kelima berturut-turut di tempat lawan, Spurs di tempat ketiga mungkin dengan mudah mendapati diri berada di luar kelompok empat kelab terats pada hujung minggu ini.

Demikianlah drama di Etihad sehinggakan kemajuan tenang Liverpool ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan 4-1 di Porto seakan-akan tidak menarik perhatian.

Para pemain Jurgen Klopp kini sudah memenangi lapan perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan dan tidak kelihatan berkemungkinan untuk tunduk di bawah tekanan bagi memenangi kejuaraan liga utama pertama dalam tempoh 29 tahun jika City tersandung. — AFP

Advertisement