Anda di sini

Chelsea, Arsenal melangkah ke separuh akhir Liga Europa

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi suku akhir perlawanan kedua Liga Europa di antara Napoli dan Arsenal di Stadium Sao Paolo di Itali. Arsenal menang dengan 3-0. — Gambar Reuters
AKSI SEBENAR: Sebahagian daripada babak-babak aksi suku akhir perlawanan kedua Liga Europa di antara Napoli dan Arsenal di Stadium Sao Paolo di Itali. Arsenal menang dengan 3-0. — Gambar Reuters

PARIS: Pedro Rodriguez menjadi wira apabila Chelsea berjaya menangkis kebangkitan bersemangat Slavia Prague dalam kemenangan 4-3 untuk layak ke peringkat separuh akhir Liga Europa pada Rabu, manakala Arsenal menyingkirkan Napoli selepas mempamerkan permainan yang meyakinkan di Itali.

Chelsea, yang nendahului 1-0 dari pusingan pertama pada minggu lepas di ibu kota Czech, kelihatan seperti akan mara mudah ke peringkat separuh akhir selepas ledakan gol awal di Stamford Bridge.

Pedro menjaringkan gol pembukaan pada minit kelima sebelum Simon Deli yang malang menolak bola ke dalam gawang sendiri dan Olivier Giroud menambah gol ketiga tidak sampai 15 minit selepas perlawanan bermula di London.  

Tomas Soucek mengurangkan jurang dengan satu gol untuk Slavia pada minit ke-26, tetapi penyerang Sepanyol Pedro membalas segera untuk memulihkan kelebihan tiga gol pasukan The Blues.

Bagaimanapun pasukan Maurizio Sarri dipaksa mengerahkan keringat apabila dua gol cantik yang pantas oleh Petr Sevcik sejurus selepas waktu rehat memberi harapan kepada Slavia untuk melakukan kebangkitan menakjubkan dengan baki 35 minit sebelum tamat.

Chelsea akhirnya berjaya mengatasi ancaman untuk mara dengan agregat 5-3 walaupun mempamerkan permainan yang tidak meyakinkan pada separuh masa kedua.

“Kami cekap di hadapan dan mantap di belakang tetapi kami mengurangkan kesungguhan kami selepas waktu rehat,” kata Giroud, yang menjaringkan gol ke-10 untuk mendahului persaingan, kepada BT Sport.

“Kami bermula dengan teruk di separuh masa kedua tetapi saya benar, benar gembira kerana kami bermain dengan baik dalam tempoh 45 minit pertama dan kami akan bermain dalam perlawanan separuh akhir di Eropah, sesuatu yang sangat penting bagi kami,” tambah Sarri, pengurus Chelsea.

Juara Liga Europa 2013 itu akan bertemu dengan Eintracht Frankfurt pada peringkat separuh akhir selepas kelab Jerman itu menyingkirkan Benfica berdasarkan jaringan di tempat lawan.

Eintracht tewas 4-2 di Portugal seminggu lalu tetapi jaringan oleh Filip Kostic dan bekas pemain tengah Bayern Munich Sebastian Rode membantu pemegang Piala Jerman itu untuk mara di Commerzbank Arena.

Kostic menolak masuk bola yang melantun balik pada minit ke-37 selepas cubaan Mijat Gacinovic terkena palang gol.

Rode, yang dipinjamkan dari Borussia Dortmund, menjaringkan gol penentuan pada minit ke-67 apabila dia menyasari sudut bawah dari tepi kawasan penalti.

Di Itali, Alexandre Lacazette merembat masuk tendangan penalti yang hebat pada minit ke-36 di Stadio San Paolo apabila pasukan The Gunners melengkapkan kemenangan agregat 3-0 ke atas Napoli bimbingan Carlo Ancelotti.

Petr Cech menafikan Jose Callejon dengan kedua-dua kakinya ekoran serangan balas yang pantas oleh Napoli pada minit ke-15 apabila kelab Itali itu cuba mengatasi defisit dua gol dari pusingan pertama.

Namun rembatan Lacazette dari jarak 30 ela memastikan perlawanan tidak dapat dimenangi Napoli, sejurus selepas Aaron Ramsey dikeluarkan akibat kecederaan hamstring – yang berpotensi kemunculan terakhirnya untuk Arsenal sebelum dia berhijrah ke Juventus pada Julai.

“Kami datang ke sini dengan cita-cita dan mahu menang dan menjaringkan beberapa gol. Kami melakukannya bersama Laca,” kata kapten Arsenal, Laurent Koscielny, kepada BT Sport.

“Kami memastikan kami tidak dibolosi sebarang gol, sesuatu yang penting untuk keyakinan. Setiap perlawanan yang kita ada di hadapan kita adalah perlawanan akhir.”

Pengurus Arsenal Unai Emery akan menentang salah sebuah kelab lamanya Valencia, juara Piala UEFA 2004, untuk merebut tempat pada peringkat akhir.

Valencia mara dengan kemenangan agregat 5-1 ke atas Villarreal dalam perlawanan seluruh Sepanyol.

Toni Lato dan Dani Parejo menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 pada pusingan kedua untuk jurulatih Valencia, Marcelino, ke atas kelab lamanya.

Peringkat separuh akhir akan berlangsung pada 2 dan 9 Mei, manakala perlawanan akhir pada tahun ini akan diadakan di Baku pada 29 Mei. — AFP

Advertisement