Anda di sini

Bomba fokus padam saki-baki asap

Advertisement
 Anggota bomba, tentera dan Radio Amatur Miri merakamkan gambar kenangan semasa operasi bersama bagi menangani asap tebal kesan kebakaran di kawasan berdekatan Curtin Malaysia, semalam.
BERSEMANGAT: Anggota bomba, tentera dan Radio Amatur Miri merakamkan gambar kenangan semasa operasi bersama bagi menangani asap tebal kesan kebakaran di kawasan berdekatan Curtin Malaysia, semalam.

MIRI: Bomba menumpukan usaha memadamkan saki-baki asap daripada kebakaran di kawasan berdekatan Universiti Curtin Malaysia (Curtin Malaysia) di Senadin di sini, semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, kebakaran di kawasan tersebut telah terkawal dan yang tinggal hanya saki-baki asap.

“Tinjauan udara yang dibuat hari ini (semalam) mendapati hanya terdapat dua tiga tompokan api yang agak kecil dan cuma saki-baki asap sahaja tinggal.

“Cuma bila dikumpul oleh udara memang nampak banyak, tapi sebenarnya api dah terkawal, tiada api, cuma asap sahaja,” ujarnya ketika ditemu bual Utusan Borneo di lokasi tersebut, semalam.

Law berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk menurunkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bandar raya ini agar tidak menjejaskan pelajar-pelajar di universiti tersebut dan penduduk sekitarnya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan tanah gambut dan ladang kelapa sawit milik syarikat swasta di Kuala Baram hingga Senadin yang terbakar dalam kejadian kali ini mencecah lebih kurang 1,000 ekar.

Menurutnya, kekurangan punca air di kawasan yang terbakar merupakan salah satu cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh pasukannya.

“Terdapat kawasan yang memang tiada air, jadi bomba terpaksa mencari saluran air sehinggakan kita membuat penyambungan lebih kurang 1,000 meter untuk sampai ke punca kebakaran atau punca asap.

“Punca air kita perolehi daripada parit dan kolam-kolam berdekatan dengan jalan raya.

“Kita juga membuat ‘water bombing’ menggunakan helikopter Unit Udara Bomba selama tiga hari untuk kawasan-kawasan atau tompokan-tompokan yang jauh daripada capaian anggota bomba agar ia tidak merebak,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga membantu mengepam air bagi membanjiri sepenuhnya kawasan yang masih terjejas akibat kebakaran itu.

“Begitu juga dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) yang mengepam air dari telaga tiub ke kawasan yang terbakar,” katanya.

Operasi semalam turut dibantu oleh 17 anggota tentera dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Radio Amatur Miri.

Operasi pemadaman di kawasan berdekatan Curtin Malaysia semalam ditangguhkan tepat jam 2 petang, bagaimanapun rondaan tetap diteruskan bagi memastikan kawasan yang belum terbakar sentiasa terjaga.

Advertisement