Anda di sini

Asagiant dari SMK Asajaya juara ‘Young Maker Challenge 2019’

Advertisement
 Barisan pemenang merakam kenangan bersama.
TAHNIAH: Barisan pemenang merakam kenangan bersama.

KUCHING: Kumpulan Asagiant dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya dinobatkan sebagai juara pertandingan ‘Young Maker Challenge 2019’ (YMC) yang diadakan di American Corner Pustaka Negeri Sarawak, kelmarin.

Kumpulan itu yang menampilkan reka cipta bertajuk ‘Pest Control and Arduino Watering System’ berjaya menambat hati para juri.

Manakala, naib juara pertandingan ialah Expo Abdillah dari Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah.

Sehubungan itu, Asagiant dan Expo Abdillah akan mewakili Sarawak ke pertandingan YMC peringkat kebangsaan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 2 Mei depan.

Selain kedua-dua sekolah terbabit, peringkat akhir pertandingan YMC negeri Sarawak turut menyaksikan penyertaan daripada SMK Kota Samarahan dan SMK Wira Penrissen.

Menurut Ketua Juri Prof Madya Dr Hushairi Zen dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), kesemua projek yang dipersembahkan oleh peserta adalah sangat baik.

Namun katanya, projek yang dipilih memenangi pertandingan itu adalah projek yang mempunyai nilai komersial tinggi.

YMC merupakan pertandingan reka cipta inovasi kreatif yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai penganjur utama dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dan disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tujuan utama pertandingan ialah memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM), terutama mereka dari keluarga B40.

Terdahulu, Pengarah Projek YMC Prof Madya Dr Kartinah dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UNIMAS dalam ucapannya berasa kagum dengan pencapaian semua kumpulan pelajar yang berusaha mempelajari teknik pengaturcaraan Arduino serta boleh menghasilkan projek mereka dalam tempoh tiga minggu sahaja.

UNIMAS merupakan rakan penganjur untuk pertandingan YMC peringkat negeri yang turut disokong oleh kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak dan Yayasan Sarawak.

Advertisement