Anda di sini

Penyingkiran kejam: Guardiola tetap akan sokong VAR

Advertisement
 Silva (tengah) terlepas peluang untuk menambah jaringan ketika beraksi pada perlawanan menentang Spurs di Stadium Etihad, Manchester Rabu lepas. — Gambar Reuters
TIADA NASIB: Silva (tengah) terlepas peluang untuk menambah jaringan ketika beraksi pada perlawanan menentang Spurs di Stadium Etihad, Manchester Rabu lepas. — Gambar Reuters

MANCHESTER, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan video bantuan pengadil (VAR) menghasilkan ‘bola sepak adil’ walaupun penyingkiran kejam pasukannya dari suku akhir Liga Juara-Juara kerana gol di tempat lawan apabila seri 4-4 secara agregat dengan Tottenham Hotspur Rabu lepas.

City menang 4-3 pada perlawanan kedua di Stadium Etihad tetapi untuk musim ketiga berturut-turut mereka gagal layak ke separuh akhir di bawah bimbingan Guardiola selepas dua semakan VAR memihak kepada Spurs.

Pertama sekali, gol penting Fernando Llorente 17 minit sebelum tamat permainan dibenarkan walaupun bola kelihatan terkena tangan beliau ketika meluru ke pintu gol dan kemudian pada minit kecederaan, gol Raheem Sterling dijangka melengkapkan hatrik beliau dan memastikan City melangkah ke separuh akhir sebelum tidak dibenarkan kerana ofsaid.

“Saya menyokong VAR. Ia kelihatan seperti gol Llorente terkena tangan. Dari satu sudut, ia kelihatan terkena tangan, dari pandangan pengadil, ia tidak,” kata Guardiola.

“Saya OK dengan bola sepak adil, dengan keputusan adil. Jika ia ofsaid, ia ofsaid. Di masa hadapan, saya berharap ia akan menjadi lebih adil.”

Penyingkiran City bermakna impian memburu empat kejuaraan telah berkecai dan Guardiola kecewa dengan kesilapan yang membawa padang pada kedua-dua perlawanan, dengan Sergio Aguero gagal menyempurnakan penalti pada perlawanan pertama yang membolehkan City mengikat kedudukan 1-1 sebelum berkesudahan dengan kemenangan 1-0 buat Spurs.

“Ia sukar. Kami hampir (ke separuh akhir), ia sangat kejam tetapi kami harus menerimanya,” tambah Guardiola.

“Kesilapan dalam pertandingan ini akan menghukum anda dengan teruk. Malangnya, kami yang menerima hukuman itu.”

Tidak seperti Guardiola, pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, yang sebelum ini mengkritik VAR, percaya keputusan memberikan City satu tendangan penalti pada perlawanan pertama dan tidak menghukum Fernandinho kerana terjahan keras ke atas Harry Kane, seperti ditebus pada perlawanan kedua ini.

“Anda harus mempercayai VAR apabila ia tidak memihak atau memihak anda,” kata Pochettino. “Keputusan memasukkan VAR ke dalam bola sepak akan mengubah sukan ini.”

Pochettino melabelkan pemainnya sebagai “wira” kerana melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Eropah buat kali kedua dalam sejarah mereka selepas satu musim di mana mereka tidak membeli sebarang pemain dan beraksi hampir sepanjang musim ini di gelanggang sendiri sementara di Stadium Wembley.

“Pada malam dan kemenangan seperti ini, anda hanya boleh berasa bangga. Saya merasakan mereka adalah wira. Dengan semua situasi untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara, mereka selayaknya mendapat banyak pujian.”

Keputusan Guardiola tidak menurunkan Kevin de Bruyne pada perlawanan pertama akan menghantuinya selepas pemain tengah itu mengumpan tiga gol untuk membawa City hampir ke kelayakan separuh akhir.

Beliau mengumpan gol pertama dari empat gol dalam tempoh 11 minit dengan Sterling membuka jaringan.

Tetapi Spurs bangkit dua kali dalam tempoh tiga minit dengan dua gol Son Heung-min untuk gol ke-20 beliau musim ini.

Namun, dengan Kane dijangka berehat sehingga akhir musim, Pochettino kini mempunyai masalah mencari pengganti Son, yang tidak akan dapat beraksi pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Ajax kerana penggantungan.

Permulaan luar biasa semakin menarik apabila rembatan Bernardo Silva terkena pertahanan Spurs, Danny Rose dan mengelirukan penjaga gol Hugo Lloris untuk mengikat kedudukan 2-2.

Pada pertengahan separuh masa pertama, Spurs City kembali di hadapan apabila Bernardo dan De Bruyne bergandingan cantik sebelum Sterling melakukan penyudah.

Harapan Spurs untuk membawa kelebihan gol di tempat lawan terjejas apabila Moussa Sissoko terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.

Pochettino memilih serangan sebagai pertahanan terbaik dengan memasukkan Llorente dalam apa yang merupakan keputusan terbaik.

De Bruyne mengumpan gol ketiga yang disempurnakan Aguero untuk meletakkan City di hadapan buat kali pertama pada perlawanan ini tetapi kelebihan kembali memihak Spurs apabila Llorente menjaringkan gol ketiga Spurs dari tendangan sudut Kieran Trippier dengan bola dikatakan terkena lengan beliau.

Selepas pemeriksaan VAR, pengadil perlawanan mengekalkan keputusan membenarkan gol itu.

Dan VAR tidak memihak City sekali lagi pada minit kecederaan apabila gol Sterling – yang boleh menjadi hatrik dan gol ke separuh akhir – tidak dibenarkan pengadil kerana ofsaid. — AFP

Advertisement