Anda di sini

Juruteknik didakwa pukul kanak-kanak lelaki guna kayu

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik di syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun menggunakan kayu sehingga lebam di kaki kiri mangsa.

Ahmad Saufi Nin Ahmad Latfi, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Tertuduh didakwa memukul kanak-kanak itu, yang merupakan anak tuan rumah yang disewanya di sebuah flat di Taman Desa di sini pada 2 petang, 12 April 2018 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan Ahmad Saufi Nin boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif tidak menawarkan jaminan, bagaimanapun Ahmad Saufi Nin yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dibenarkan dengan alasan pendapatannya tidak menentu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan iaitu dilarang mendekati mangsa dan keluarga mangsa. Hakim juga menetapkan 6 Mei untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. - Bernama

Advertisement