Anda di sini

Suami ditahan pukul cedera isteri guna alatan senaman

Advertisement

LAHAD DATU: Kerana tidak tahan sering dipukul hingga cedera, seorang wanita, 26, bersama anaknya nekad keluar dari rumah di Kampung Tabanak pada 14 April 2019 jam 6 petang.

Meski tanpa izin suaminya, tindakan itu akhirnya disedari suspek hingga menyebabkan mangsa dipukul menggunakan alat senaman berupa sebatang besi sepanjang 22 inci dan dilempar besi 'dounble'.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan mulut berdarah kerana ditumbuk dan ditendang, sakit di bahagian belakang dan kaki lebam kesan dipukul besi dan dilempar besi.

Katanya, kejadian berulang lagi pada 17 April jam 7 malam apabila suspek mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat menyebabkan mangsa dan anaknya ketakutan lalu bertindak melarikan diri dari rumah dan membuat laporan polis.

"Suspek telah ditahan pada hari yang sama jam 10.45 malam oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah dalam Ops Cantas yang dilaksanakan di kampung berkenaan.

"Turut dirampas alat senaman berupa besi sepanjang 22 inci, besi dounble yang dipercayai digunakan suspek dalam kes ini," katanya.

Siasatan lanjut mendapati mangsa sering dipukul dan anaknya turut cedera namun tidak dilaporkan kepada polis.

Pasangan suami isteri itu berkahwin secara nikah kampung pada 25 Februari 2019 dan didapati ia perkahwinan kali kedua buat mangsa dan bagi suspek ia kali ketujuh.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement