Anda di sini

SSTJ galas cabaran capai kejayaan

Advertisement
 Posa (tiga kanan) melakukan penyerahan jersi dan bola tajaan FAS kepada Edward sambil disaksikan yang lain di SSTJ semalam.
SEMOGA BERJAYA: Posa (tiga kanan) melakukan penyerahan jersi dan bola tajaan FAS kepada Edward sambil disaksikan yang lain di SSTJ semalam.

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menuntut pencapaian lebih baik daripada skuad Bawah 14 tahun dan 17 tahun Sarawak yang diwakili oleh Sekolah Sukan Tabuan Jaya (SSTJ) pada saingan Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) musim ini.

Presidennya, Datuk Posa Majais berharap dua skuad remaja itu dapat melakarkan kemenangan mutlak apabila melayan kunjungan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Stadium Mini SSTJ pada perlawanan pembukaan Sabtu ini.

“Saya mengharapkan semua pemain dari kedua-dua skuad bawah 14 tahun dan 17 tahun SSTJ (Sarawak) dapat mempamerkan prestasi yang terbaik pada saingan Liga KPM 2019 ini,” katanya pada majlis penyerahan jersi dan bola tajaan FAS di SSTJ, di sini petang semalam.

Menurut Posa, beliau percaya misi SSTJ untuk memburu kemenangan dalam setiap perlawanan boleh dicapai jika semua pemain bermain sebagai satu pasukan.

Beliau turut berpesan kepada pemain-pemain agar memastikan apa yang dipelajari semasa dalam sesi latihan akan diterjemahkan dengan baik pada permainan dan yang penting mereka sentiasa fokus.

“Kedua-dua pasukan iaitu Bawah 14 tahun dan 17 tahun telah membuat persiapan rapi sejak beberapa bulan lalu dan saya yakin pasukan remaja kita mampu melakukan yang terbaik nanti,” katanya.

Posa berharap semoga usaha serta kerja keras semua pemain dan jurulatih dibalas dengan keputusan yang positif pada setiap perlawanan yang mereka harungi nanti.

Beliau yang juga Penaung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan percaya kedua-dua skuad itu mampu menunjukkan prestasi lebih baik berbanding sebelum ini jika mengambil kira persiapan rapi dilakukan untuk menghadapi kejohanan berprestij itu.

Hadir sama Pengetua SSTJ, Edward Ngelai yang mewakili pasukan terbabit bersama barisan jurulatih, pegawai serta guru-guru sekolah tersebut.

  • oleh
  • Advertisement