Anda di sini

Skuad taekwondo Sarawak melakar kejayaan cemerlang

Advertisement
 Kontinjen Sarawak meraikan kejayaan bersama pegawai-pegawai dan jurulatih mereka.
TAHNIAH: Kontinjen Sarawak meraikan kejayaan bersama pegawai-pegawai dan jurulatih mereka.

KUCHING: Skuad taekwondo Sarawak (ITF) melakar kejayaan cemerlang pada Kejohanan Taekwondo ITF Sekolah Asia Pasifik 2019 dengan menggondol 18 pingat emas, 13 perak dan 13 gangsa yang berakhir minggu lalu di Management Science University (MSU), Shah Alam.

ITF Sarawak menghantar seramai 31 peserta dipilih dari seluruh Kuching bersama 10 pengadil pada kejohanan julung kali diadakan anjuran ITF Selangor dan ITF Malaysia (ITFM).

Ia turut disokong Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan.

Skuad Sarawak diiringi Pengurus Pasukan, Regina Ho bersama beberapa jurulatih diketuai Jeremy Lo.

Menurut Regina, atlet-atlet menjalani latihan selama berbulan mencakupi latihan kecergasan yang dikendalikan oleh jurulatih, Nurasiman Simon dari Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Katanya, ia bukan tugas mudah untuk atlet-atlet membuat persiapan dan mereka perlu membahagikan masa menghadapi peperiksaan.

Seramai 1,700 peserta dari 10 negara mengambil bahagian pada kejohanan itu termasuk China, India, Uzbekistan, Singapura, Bangladesh, Nepal, Filipina dan Malaysia.

Pencapaian dari kejohanan itu membolehkan atlet-atlet mengutip mata kokurikulum sangat penting untuk pelajar-pelajar menyambung pengajian di institut pengajian tinggi pada masa akan datang dan melayakkan mereka memohon biasiswa.

ITF Malaysia mendapat pengiktirafan ‘Malaysian Book of Records’ kerana menganjurkan kejohanan untuk pelajar sekolah dan paling ramai disertai atlet taekwondo.

Advertisement