Anda di sini

Sabah rancang wujudkan satu penempatan pelarian di pulau

Advertisement
 Mohd Shafie (dua kiri) tertarik dengan spesies baharu ikan Echo Grouper iaitu ikan hasil kacukan ketika melakukan pelancaran spesies baharu ikan itu di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah semalam. — Gambar Bernama
TERTARIK: Mohd Shafie (dua kiri) tertarik dengan spesies baharu ikan Echo Grouper iaitu ikan hasil kacukan ketika melakukan pelancaran spesies baharu ikan itu di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah merancang untuk mewujudkan satu penempatan pelarian dari negara jiran yang cuba memasuki negeri ini di sebuah pulau yang terletak jauh dari kawasan daratan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sekiranya pelarian berkenaan berasal dari Filipina maka penempatan berkenaan akan diwujudkan di sebuah pulau yang terletak dengan sempadan kedua-dua negara.

“Seperti yang kita tahu pada tahun 70-an Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga melakukan peranan yang sama apabila menempatkan pelarian kaum Simunul yang berasal daripada Filipina di satu kawasan yang dikenali sebagai ‘united nation gazet area’.

“Jadi kita kena belajar dengan pengalaman dahulu… oleh itu kerajaan mencadangkan supaya ada satu penempatan di satu pulau yang agak jauh daripada daratan negeri Sabah dan mereka boleh tinggal di kawasan berkenaan. Namun kita tidak akan sesekali membawa mereka ke daratan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan spesies baharu ikan kerapu sebuah syarikat di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata usaha mewujudkan penempatan pelarian berkenaan adalah satu hala tuju kerajaan untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Ini juga adalah salah satu sifat keperimanusiaan kita kerana kita ada asas untuk menyelamatkan manusia… takkanlah kita biarkan mereka tinggal di atas laut,” katanya.

Menurut beliau penempatan pelarian yang dicadangkan itu adalah sama seperti penempatan pelarian di pulau Bidong Terengganu.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran spesies baharu ikan kerapu itu, Mohd Shafie berkata ia adalah satu spesies yang diperoleh melalui proses pengklonan daripada beberapa spesies ikan kerapu.

“Saya difahamkan spesies baharu yang dinamakan sebagai Echo Grouper itu berjaya dihasilkan dalam jangka masa tiga hingga lima tahun kerana banyak yang perlu dikenal pasti untuk membuat klon berkenaan.

“Kejayaan ini kita sangat alu-alukan dan kita berharap penemuan seumpama ini dapat ditingkatkan dan selepas itu kita dapat membantu masyarakat nelayan untuk menternak ikan berkenaan,” katanya. — Bernama

Advertisement