Anda di sini

RM44,000 disalur kepada 44 keluarga mangsa kebakaran Uma Bawang

Advertisement
 Kennedy (lima kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil  penduduk Uma Bawang.
SUMBANGAN: Kennedy (lima kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil penduduk Uma Bawang.

BINTULU: Bantuan awal sebanyak RM44,000 telah disalurkan kepada 44 keluarga daripada dua blok rumah panjang Uma Bawang di Skim Penempatan Semula Sungai Asap yang musnah dalam kebakaran petang Isnin lalu.

Bantuan ini telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chuk Pai Ugon semasa melawat mangsa kebakaran di skim penempatan semula itu semalam.

“Secara amnya, setiap keluarga terjejas akan menerima bantuan awal sebanyak RM1, 000 bagi kegunaan mereka mendapatkan barang keperluan asas yang baharu serta barangan keperluan lain yang diperlukan, kerana kesemua peralatan rumah mereka telah musnah terbakar,” ujarnya.

Pada masa sama katanya, bantuan susulan akan diberikan kepada semua mangsa terjejas dari semasa ke semasa mengikut keperluan mereka, terutama pembinaan rumah sementara yang akan menjadi tempat mereka tinggal, sementara menunggu rumah panjang yang baharu siap dibina.

Beliau pada masa sama melahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak kerana menyalurkan bantuan awal bernilai RM38,000 buat mangsa terjejas yang disampaikan dalam bentuk perkakas dapur, makanan serta barang keperluan asas lain, yang menjadi keperluan mendesak penduduk pada masa sekarang.

“Saya berharap lebih banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat, perniagaan serta perindustrian sekitar Bintulu tampil menghulurkan bantuan kepada semua mangsa terjejas,” jelas beliau.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 6 petang Isnin lalu, 407 penduduk daripada 44 keluarga di Uma Bawang hilang tempat berteduh setelah rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran.

Adalah difahamkan kesemua mangsa kini tinggal di rumah saudara berdekatan sementara menunggu rumah sementara siap dibina.

Advertisement