Anda di sini

Punca kelewatan pelantikan Ketua Adat dikenal pasti

Advertisement
AIDI (kiri) berbual bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick (tengah) dan Poong Zin Zhe (DAP-Luyang).
AIDI (kiri) berbual bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick (tengah) dan Poong Zin Zhe (DAP-Luyang).

KOTA KINABALU: Kesukaran pemimpin setempat memuktamadkan calon yang layak untuk diperakukan Pegawai Daerah antara punca kelewatan pelantikan Ketua Adat.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar berkata, peralihan proses tanggungjawab antara dua kementerian turut mengakibatkan kelewatan berkenaan.

Menurutnya, proses peralihan tanggungjawab itu melibatkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan kepada Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Katanya, penamatan pelantikan Ketua-Ketua Adat bermula pada November 2018.

"Kelewatan proses penurunan kuasa untuk melantik dari pihak yang berkenaan kepada kementerian turut menyumbang kepada kelewatan ini.

"Kerajaan juga akan meneliti dan menimbangkan cadangan supaya pelantikan Ketua Adat merangkumi setiap kaum.

"Ia tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan dan syor berkenaan hendaklah diperakukan oleh Jawatankuasa Tapisan Peringkat Daerah," katanya dalam ucapan penggulungan.

Dalam pada itu, beliau berkata bidang kuasa dan struktur Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Anak Negeri adalah tidak sama.

Justeru, pihaknya berpendapat tidak wajar untuk membandingkan bidang kuasa dan struktur di antara kedua-dua mahkamah berkenaan.

"Apa yang perlu ditekankan, kerajaan negeri mengkaji pentadbiran hal ehwal anak negeri untuk mengenal pasti dengan jelas bidang kuasa undang-undang anak negeri yang terpakai.

"Ia juga melihat hubung kait kuasa undang-undang anak negeri dalam kalangan anak-anak negeri yang beragama Islam dan bukan Islam," jelasnya.

Aidi berkata, Ketua Adat atau Ketua Anak Negeri termasuklah Ketua Kampung yang dilantik adalah berdasarkan peruntukan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992.

Beliau berkata, secara kebiasaannya pelantikan berkenaan adalah dalam kalangan penduduk warganegara yang majoriti di sesebuah kawasan itu.

  • oleh
  • Advertisement