Anda di sini

Program Taklimat Sivik landasan sesuai meningkatkan kesedaran masyarakat

Advertisement
 Ling bersama tetamu serta pelajar pada Taklimat Sivik Peringkat Sarawak anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Miri di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri semalam.
TAKLIMAT: Ling bersama tetamu serta pelajar pada Taklimat Sivik Peringkat Sarawak anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Miri di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri semalam.

MIRI: Program Taklimat Sivik landasan sesuai dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya pelajar mengenai pelbagai permasalahan dihadapi secara umum.

Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling berkata, program itu membuka ruang sama ada kalangan pelajar mahupun jabatan-jabatan atau agensi kerajaan bersama berkongsi maklumat berkaitan kesedaran sivik.

“Program seperti ini membantu kita menyampaikan secara terus kepada pelajar mengenai kesedaran sivik tidak kira sama ada mengenai penyakit, isu-isu sosial seperti dadah atau jenayah siber bagi meningkatkan pemahaman mereka.

“Malah, secara tidak langsung aktiviti itu turut merapatkan hubungan agensi-agensi kerajaan dan masyarakat setempat berkonsepkan mesra rakyat dan turun padang bersama,” katanya pada Taklimat Sivik Peringkat Sarawak anjuran Jabatan Penerangan Miri di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang di sini semalam.

Menurut Ling, melalui statistik dikeluarkan, Sarawak mencatat jumlah tertinggi pelajar sekolah menengah positif dadah pada Oktober 2018.

Daripada statistik itu, Miri menjadi antara kawasan berisiko perlu diambil serius semua pihak kerana dadah isu amat membimbangkan dalam kalangan pelajar dan perlu bersama ditangani dan menjadi antara topik dibentangkan semalam.

“Selain taklimat sivik, setiap masyarakat memainkan peranan melaporkan mana-mana kes berkaitan dadah kalangan pelajar.

“Sama ada ibu bapa atau guru mereka perlu melapor segera kepada agensi berkaitan bagi membantu pelajar terlibat kes dadah atau apa sahaja isu-isu sosial berkaitan,” jelasnya.

Ling berkata, pemantauan dan kaunseling perlu diutamakan membantu pelajar dikenal pasti mempunyai permasalahan sedemikian.

Dalam pada itu, beliau mahu pelajar terlibat menjayakan program terbabit bukan sahaja mendapat manfaat tetapi menggunakan peluang bagi mengajukan pelbagai soalan kepada penceramah.

Sementara itu, program diselitkan dengan tiga sesi melibatkan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Miri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri.

Antara tajuk dibentangkan ialah Kencing Tikus/Rabies, Penyalahgunaan Dadah Dalam Kalangan Pelajar dan Jenayah Siber serta sesi soal jawab bersama pelajar terlibat.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Miri Aba Sam serta tetamu lain.

Advertisement