Anda di sini

Penyewa PPR sambut baik dasar 'sewa beli'

Advertisement
JAAFAR, Sailli dan Haron
JAAFAR, Sailli dan Haron

KOTA KINABALU: Kebanyakan penyewa di bawah program Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini menyambut baik keputusan kerajaan untuk menghentikan dasar 'sewa sepanjang hayat' dan menggantikannya dengan 'sewa beli'.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong semasa menjawab soalan tambahan Adun Kuala Penyu Datuk Limus Jury pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu berkata kerajaan negeri sedang melakukan rundingan untuk menghentikan dasar sewa sepanjang hayat yang digunakan Barisan Nasional (BN) selama ini di semua PPR yang ada di negeri ini dan menggantikannya dengan sewa beli.

Katanya langkah itu diambil selepas mendengar keluhan rakyat yang masih belum memiliki kediaman sendiri, malah amat menyedihkan ada yang telah menyewa PPRT sejak 30 tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, rundingan sedang dilakukan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membolehkan setiap PPR menggunakan sistem sewa beli manakala Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) turut melakukan perkara sama bagi PPR di bawah kendalian agensi itu.

Ketika mendapatkan maklumkan balas mengenai keputusan kerajaan itu, seorang penyewa Jaafar Abdul Wahid yang sudah hampir 15 tahun menyewa di Taman Puri Warisan Inanam berkata, ia adalah hadiah istimewa kepada mereka selari dengan perubahan Sabah baharu sempena hampir setahun kerajaan Warisan yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd

Shafie Apdal mentadbir Sabah dalam membela kesejahteraan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.

"Keputusan ini adalah adalah petunjuk prestasi utama (KPI) kerajaan kepada rakyat biasa (berpendapatan rendah) agar dapat hidup lega dan boleh memiliki rumah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap proses untuk melaksanakan program itu dapat dipercepatkan agar penyewa tidak terlalu lama menunggunya.

Bagi seorang penyewa rumah di PPR Taman Jaya diri Sepanggar, Sailli Suntim, 57, ia adalah berita gembira kepada para penyewa yang sudah berpuluh tahun menunggu untuk memiliki rumah sendiri.

"Kita harap ini bukan lagi sekadar cadangan tapi perlu dilaksanakan segera kerana semasa kerajaan terdahulu kami telah memohon namun tiada sebarang jawapan," jelas beliau.

Penjawat awam Haron Gumala, 57, yang menyewa PPR di Taman Puri Warisan Kampung Kalansanan, Inanam berharap agar harga yang bakal ditawarkan biarlah bersesuaian dengan pendapatan golongan berkenaan.

"Jika boleh, biarlah harganya mampu milik sekitar RM50,000 seunit atau ditolak dari kos penyewaan sebelum ini. Dalam erti kata, mampu milik bagi meringankan beban golongan ini," katanya.

Sebagai insentif bagi memastikan setiap unit rumah itu berkeadaan baik sebelum dijual, beliau berharap agar kerajaan akan memberi rebat untuk kerja pembaikan rumah.

  • oleh
  • Advertisement