Anda di sini

Messi tamatkan harapan kebangkitan luar biasa The Red Devils di Nou Camp

Advertisement
 Messi (tengah) melepaskan rembatan melepasi kawalan pemain United sebelum menjaringkan gol ketiga Barca pada perlawanan di Nou Camp, Barcelona Rabu lepas. — Gambar AFP
AKSI LUAR BIASA: Messi (tengah) melepaskan rembatan melepasi kawalan pemain United sebelum menjaringkan gol ketiga Barca pada perlawanan di Nou Camp, Barcelona Rabu lepas. — Gambar AFP

BARCELONA, Sepanyol: Lionel Messi menghukum kesilapan Manchester United untuk menjaringkan dua gol, sekali gus menamatkan segala harapan kebangkitan luar biasa di Nou Camp ketika Barcelona melangkah selesa ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Selasa lepas.

Selepas memulakan permainan dengan memberangsangkan, United bolos dua gol dalam tempoh empat minit oleh Messi, yang merampas bola dari Ashley Young untuk membuka jaringan sebelum rembatan lemah beliau lolos dari dakapan penjaga gol David de Gea.

Philippe Coutinho, mungkin aksi terbaik beliau musim ini, menjaringkan gol ketiga untuk mengesahkan kemenangan agregat 4-0, ekoran kemenangan 1-0 di Old Trafford minggu lepas.

“Kami berasa cemas selama lima minit kerana mereka bermula garang,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde. “Tetapi ada 85 minit lagi di mana kami bermain dengan lebih baik.”

Lima minit pertama yang hampir menghasilkan gol buat United dengan rembatan Marcus Rashford terkena palang, tinggal kenangan apabila Barca kelihatan mengawal sepenuh permainan selepas itu.

Dua kesilapan awal United menghadiahkan kemenangan United dan memusnahkan segala harapan kebangkitan seperti ketika menentang Paris Saint Germain (PSG) di pusingan kedua dan kemenangan ke atas Bayern Munich di final 1999.

“Kami berkata sebelum ini di mana ia tidak akan berubah dalam sehari,” kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer. “Dalam beberapa tahun akan datang, ia adalah satu usaha yang cukup besar untuk sebaris dengan Barcelona dan juga pasukan seangkatan dengannya.”

Messi sekarang sudah menjaringkan 110 gol dalam Liga Juara-Juara dan dengan potensi baki tiga lagi perlawanan musim ini, beliau boleh merapatkan jurang di belakang Cristiano Ronaldo yang memegang rekod terbanyak di Eropah dengan 126 gol tetapi kelab Ronaldo, Juventus, tersingkir di suku akhir selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Ajax.

Solskjaer menggesa penyerangnya untuk lebih berbisa di Nou Camp tetapi ia kelihatan satu tugas sukar sebelum sepak mula dengan Rashford, Anthony Martial, Romelu Lukaku dan Alex Sanchez menjaringkan 42 gol di antara mereka sedangkan Messi bersendirian sudah menjaringkan 43 gol.

United memulakan perlawanan dengan meyakinkan dan boleh membuka jaringan seawal 30 saat permainan apabila Rashford mengejar umpanan Paul Pogba tetapi rembatannya terkena palang dengan penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen sudah tertewas.

Barcelona juga mempunyai peluang awal dengan United hampir menghadiahkan penalti apabila Fred merampas bola dari Ivan Rakitic secara kasar tetapi pengadil tidak mengendahkan rayuan pemain Barca.

Namun kesilapan itu diulangi dan kali ini kesilapan Ashley Young di hujung kotak penalti dihukum apabila Messi berjaya melepasi terjahan Young dan melolos bola di celah kaki Fred sebelum merembat ke pintu gol.

Gol kedua lebih mudah dengan Fred dan Scott McTominay cuba mengawal pergerakan Coutinho dan bola sampai ke kaki Messi dan kemudian melakukan satu rembatan agak lemah yang sepatutnya boleh diselamatkan oleh De Gea tetapi bola lolos dari dakapannya untuk kedudukan 2-0.

Barca hampir menjaringkan gol ketiga lebih awal tetapi De Gea sempat menyelamatkan bola sebelum melepasi garisan pintu gol dari cubaan Sergi Roberto. — AFP

Advertisement