Anda di sini

Keseimbangan akademik, sukan, kemantapan sahsiah pelajar serlahkan sekolah berjaya

Advertisement
 Gira (tengah) merakam kenangan bersama peserta Kejohanan Olahraga Antara Sukan SMK Luar Bandar Sibu No.1 Ke-53 Tahun 2019 semalam. Turut kelihatan Mathew (berdiri, empat kiri), Ngalai (berdiri, empat kanan) serta yang lain.
KENANGAN: Gira (tengah) merakam kenangan bersama peserta Kejohanan Olahraga Antara Sukan SMK Luar Bandar Sibu No.1 Ke-53 Tahun 2019 semalam. Turut kelihatan Mathew (berdiri, empat kiri), Ngalai (berdiri, empat kanan) serta yang lain.

SIBU: Keseimbangan prestasi akademik, sukan dan kemantapan sahsiah pelajar  akan menyerlahkan sekolah yang berjaya selari dengan aspirasi pendidikan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang berkata, pelajar yang aktif dalam sukan adalah cerdas pemikiran dan mampu menerima ilmu yang disampaikan guru di bilik darjah.

Katanya, pelajar harus berusaha dengan gigih agar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran namun mereka juga perlu melibatkan diri dalam kokurikulum.

“Kalau adik-adik sekalian ingin berjaya dalam akademik dan sukan, anda harus berkawan rapat dengan rakan-rakan yang cemerlang dalam akademik dan sukan.

“Tiada jalan pintas untuk berjaya, sebaliknya pelajar perlu berusaha gigih dan secara berterusan dalam kedua-dua bidang terbabit untuk merealisasikan impian diri, keluarga dan sekolah,” jelasnya.

Gira berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penangguhan Penutupan Kejohanan Olahraga Antara Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Sibu No.1 Ke-53 Tahun 2019 semalam.

Katanya, Kerajaan Sarawak menarik pelabur asing datang ke Bumi Kenyalang adalah sebagai usaha menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada para graduan.

Gira memberitahu, setakat ini Sarawak ada pelabur dari Korea yang berada di Samalaju dan Kuching yang akan memberi peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.

“Inilah usaha murni Kerajaan Sarawak menarik para pelabur untuk menampung peluang pekerjaan khususnya untuk para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di universiti,” ujarnya.

Tambahnya, semua peluang pekerjaan tersebut amat memerlukan kemahiran dalam bidang teknikal dan pentadbiran.

“Saya berharap para pelajar belajar dengan bersungguh-sungguh untuk merebut peluang pekerjaan tersebut dan bersama-sama membangunkan Sarawak,” katanya.

Hadir sama ialah Penolong Kanan Pentadbiran SMK Luar Bandar Sibu No.1 Busang Bedindang, Pemanca Mathew Ganggang dan Penghulu Andrewson Ngalai Asom.

Advertisement