Anda di sini

Kembara Malaysia-China 2019 bukti Proton X70 hebat

Advertisement
 Para peserta pengembaraan Malaysia-China 2019 merakamkan kenangan di Geely Hangzhou.
SELAMAT DATANG: Para peserta pengembaraan Malaysia-China 2019 merakamkan kenangan di Geely Hangzhou.

SEMBILAN unit SUV pintar pertama Malaysia, Proton X70, telah berlepas dari Pusat Kecemerlangan PROTON (COE) di Shah Alam bagi pengembaraan melalui jalan darat ke China pada 26 Februari lalu.

Menurut kenyatan media baru-baru ini, pengembaraan itu dianjurkan Borneo Automobile Leisure Touring dan Kunming Scenery-Customer International Travel Co.

Jelajah Proton X70 Malaysia-China 2019 ini mendapat sokongan daripada Proton dan telah merentasi lebih 13,000km jarak perjalanan dalam tempoh 33 hari melalui empat negara.

Selepas tiga bulan pelancarannya, kebolehan Proton X70 untuk melalui pelbagai keadaan jalan dan prestasi tanpa masalah berjaya dibuktikan melalui ketahanannya dalam pengembaraan tersebut.

Tiada sebarang masalah dilaporkan sepanjang perjalanan tersebut yang merangkumi empat negara dan setiap sembilan unit model tersebut telah melengkapkan perjalanan tanpa perlu dibaiki selain servis berkala seperti yang diperlukan.

Ini adalah kejayaan yang membanggakan di mana pemanduan ini telah merentasi perjalanan jarak jauh ke kawasan-kawasan yang terhad untuk mendapatkan sokongan teknikal.

Apabila ditanyakan pengalaman mereka memandu Proton X70, para peserta berterima kasih atas pemanduan yang lancar, prestasi yang memberangsangkan dan menakjubkan serta ruangan kabin yang ditambah baik yang ada pada semua varian Proton X70.

Ciri-ciri ini menjadikan perjalanan yang jauh itu mudah bagi kedua-dua pemandu dan penumpang serta membolehkan mereka menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan. Mereka yang memandu Proton X70 dengan varian Premium memuji Sistem Bantuan Pemanduan Canggih (ADAS) dan ciri-ciri lain seperti kerusi kulit Nappa yang menambahkan keselamatan dan keselesaan.

“Kami berasa kagum dengan tahap keselesaan dan penambahbaikan terbaik yang ada pada Proton X70 dan selepas menghabiskan selama 33 hari memandu lebih 13,000km di jalan raya dalam pelbagai keadaan, saya berasa yakin ini adalah salah satu pilihan terbaik dalam kelasnya,” kata seorang peserta pengembaraan, Datuk Wong Kean Hwee.

Sementara itu, Lim Mee berkata, perjalanan epik ke China memberikan peluang untuk mendalami pelbagai budaya yang berbeza di sepanjang jalan.

“Memilih kenderaan yang salah untuk sesuatu pengembaraan boleh menjadikan perjalanan itu sukar dan memenatkan, justeru saya gembira dengan prestasi Proton X70. Kereta ini tidak memberi sebarang masalah, selesa dan terbaik, yang bermaksud ia sebuah kenderaan yang senang dipandu pada setiap hari,” katanya.

Model Proton X70 masih belum dijual di luar Malaysia, namun bantuan teknikal telah pun diatur oleh Proton di lokasi-lokasi pengedar dan pusat-pusat servis di sepanjang laluan yang mereka lalui.

Di China, servis dan sokongan kenderaan disediakan oleh pengedar-pengedar Geely yang telah mahir dengan kenderaan yang sama seperti Geely Bo Yue ini.

Sementara itu, pengarah acara bagi penjelajahan Dr Ling Tung King berkata, melalui pengembaraan ini, pihaknya dapat membina hubungan yang kukuh bukan hanya dengan pemilik Proton X70 tetapi juga dengan Proton.

“Dengan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Proton atas sokongan mereka kerana ini menunjukkan bahawa Proton benar-benar mengambil berat terhadap pelanggannya,” katanya.

Pengembaraan yang turut merentasi Malaysia, Thailand dan Laos itu, kebanyakan masa telah dihabiskan di China di mana konvoi tersebut telah menjelajah ke pelbagai daerah di China sebelum menuju ke lokasi utama iaitu Hangzhou dan kembali semula ke Malaysia.

Di Hangzhou, para peserta telah berkunjung ke ibu pejabat Geely dan Pusat Pengalaman Geely.

Kunjungan ini telah memberi peluang kepada para peserta untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rakan kongsi Proton, sejarah mereka dalam menghasilkan kenderaan dan meninjau model-model yang berpotensi untuk dibangunkan bersama model-model Proton pada masa hadapan.

Mereka juga kagum dengan cara Geely bekerjasama dengan syarikat automotif lain dan melabur dalam teknologi masa hadapan yang boleh dikongsi di Malaysia dan meletakkan Proton pada tahap yang sama dengan pesaing jenama premium lain.

“Walaupun Proton bangga dengan keupayaannya sendiri, kami juga gembira dapat berkongsi lebih banyak maklumat mengenai rakan kongsi kami, Geely, dengan para peserta pengembaraan ini.

“Kami mahu menghebahkan kepada rakyat Malaysia agar mereka mendalami dengan lebih lagi mengenai hubungan antara kedua-dua syarikat supaya lebih mengerti akan kedudukan Proton pada masa hadapan yang lebih gemilang,” kata Dr Li Chunrong.

Advertisement