Anda di sini

Kehadiran semula beberapa tonggak suntik keyakinan Tambadau

Advertisement
KEHADIRAN semula Rawilson Batuil (gambar besar), Azizan dan mungkin Ricco adalah perkembangan baik dalam usaha pasukan mengembalikan rentak kemenangan. Henry Saimpon (gambar kecil).
KEHADIRAN semula Rawilson Batuil (gambar besar), Azizan dan mungkin Ricco adalah perkembangan baik dalam usaha pasukan mengembalikan rentak kemenangan. Henry Saimpon (gambar kecil).

KOTA KINABALU: Kehadiran semula beberapa pemain utama menyakinkan Tambadau Sabah mengembalikan rentak kemenangannya apabila melayani kunjungan Kelab Bola Sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) pada perlawanan terakhirnya untuk pusingan pertama Liga Premier di Stadium Likas, pada Sabtu.

Pengurus pasukan Henry Saimpon berkata, Maxsius Musa masih dalam senarai kecederaan tetapi ketua pasukan Rawilson Batuil dan Mohd Azizan Nordin menyertai semula pasukan selepas menyelesaikan hukuman penggantungan satu permainan ekoran telah mengumpul tiga kad kuning.

Katanya, Ricco Nigel Milus yang turut tidak dapat senaraikan sebelum ini kerana kecederaan kaki juga sudah menyertai pasukan berlatih dan dijangka antara yang akan disenaraikan Sabtu ini.

"Kita sudah kehilangan Sabri (Sahar) sepanjang musim ini kerana kecederaan lutut manakala Maxsius mungkin memerlukan empat minggu untuk pulih dari kecederaan `hamstring.

"Apapun, kehadiran semula Rawilson, Azizan dan mungkin Ricco adalah perkembangan baik dalam usaha pasukan mengembalikan rentak kemenangan," kata Henry ketika dihubungi di sini hari ini.

Henry berkata, kehadiran semula beberapa pemain utama itu memberikan pasukan tambahan pilihan pemain yang mantap untuk kesebelasan utama dan di bangku simpanan.

Katanya, semua pemain lain termasuk empat import berada di tahap terbaik untuk memulakan perlawanan Sabtu.

Tambadau Sabah diberi kata dua oleh Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony agar kembali dapatkan kemenangan Sabtu ini atau berhadapan dengan tindakan drastik rombakan pasukan apabila pintu perpindahan pemain dibuka 2-29 Mei depan.

Peter memberi amaran itu selepas kegagalan pasukan mencipta kemenangan tiga perlawanan berturut-turut (satu Piala FA dan dua perlawanan liga) sebelum ini.

"Kami terima amaran pemangku presiden itu sebagai satu suntikan semangat memburu kemenangan Sabtu ini. Ia adalah amaran yang wajar terutama ketika kita bersaing sengit dengan beberapa pasukan di kelompok teratas.

"Hanya kemenangan pada Sabtu ini membolehkan kita menamatkan pusingan pertama dalam kelompok tiga pasukan teratas...inilah yang kami akan fokus untuk kita terus berada di landasan baik mengotakan sasaran naik ke Liga Super musim depan," kata Henry.

  • oleh
  • Advertisement