Anda di sini

JPJ KL lakar sejarah punyai anggota Unit Penguatkuasa Bermotosikal wanita

Advertisement
 Siti Syazwani, Asma dan Wah Moliz ketika menunggang motosikal peronda berkuasa tinggi di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.  — Gambar Bernama
ANGGOTA UNIT WANITA: Siti Syazwani, Asma dan Wah Moliz ketika menunggang motosikal peronda berkuasa tinggi di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencipta sejarah sebagai jabatan pertama di bawah agensi itu mempunyai anggota Unit Penguatkuasa Bermotosikal (UPB) wanita di negara ini.

Tiga anggota wanita iaitu Wah Moliz a/p Bah, 28, iaitu anak Orang Asli dari suku Semai berani menyahut cabaran Pengarah JPJ untuk menyertai UPB bersama Asma Shafie, 24, dan Siti Syazwani Hajizin, 27.

Wah Moliz yang berasal dari Gopeng, Perak itu berkata minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi menjadi faktor beliau menyertai unit itu setelah menyertai pelbagai kursus yang ditetapkan oleh jabatan.

“Unit ini memang hanya dianggotai lelaki tetapi sekarang JPJ membuka peluang anggota wanita menyertainya. Ini membuktikan yang wanita juga mampu bersaing serta mengendalikan motosikal berkuasa tinggi untuk tugasan seperti mengiring kenderaan atau lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari JPJ ke-73 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.

“Latihan serta kursus yang kami jalani sama seperti anggota lelaki, cuma cabaran utama memang kena ada stamina yang tinggi kerana motosikal ini berat,” katanya.

Bagi Siti Syazwani pula, beliau tidak menyangka dapat menyertai unit itu memandangkan baru dua tahun bertugas dalam JPJ.

“Perkara yang paling saya ingat ketika menjalani kursus apabila kami anggota wanita perlu mengangkat motosikal Kawasaki Versys 650cc yang beratnya hampir 200 kilogram.

“Memang kami perlu tahu cara mengangkat motosikal itu jika ia terjatuh... ada cara dan teknik tertentu yang perlu dipelajari.

“Setakat ini, kami anggota wanita telah menunggang motosikal sehingga ke Melaka dan akan jalani pelbagai lagi kursus untuk memantapkan kemahiran kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata penyertaan tiga anggota wanita itu sebagai langkah permulaan memberi pendedahan kepada anggota wanita untuk melibatkan diri dalam unit itu.

“Idea untuk memasukkan anggota wanita tercetus awal tahun ini. Saya cabar anggota wanita untuk sertai UPB dan ternyata mereka mampu lakukan,” katanya. — Berrnama

Advertisement