Anda di sini

Hampir 300 ditangkap protes perubahan iklim di London

Advertisement
 Dua aktivis membantah perubahan iklim berkhemah di Oxford Circus sewaktu tunjuk perasaan ‘Extinction Rebellion’ di London, Britain pada Rabu. — Gambar Reuters
MAHU SELAMATKAN BUMI: Dua aktivis membantah perubahan iklim berkhemah di Oxford Circus sewaktu tunjuk perasaan ‘Extinction Rebellion’ di London, Britain pada Rabu. — Gambar Reuters

LONDON: Hampir 300 orang telah ditangkap dalam protes perubahan iklim yang sedang diadakan di London dan melumpuhkan beberapa bahagian di ibu kota Britain, kata polis pada Selasa.

Penunjuk perasaan mula menyekat sebuah jambatan dan persimpangan jalan pusat utama pada Isnin sewaktu permulaan kempen tunjuk perasaan yang turut menyaksi-kan protes di bahagian lain di Eropah.

Protes tersebut dianjurkan oleh kumpulan kempen ‘Extinction Rebellion’ yang ditubuhkan pada tahun lepas di Britain oleh ahli akademik dan sudah menjadi salah satu pergerakan alam sekitar paling cepat berkembang di dunia.  

Polis Metropolitan di London berkata pada petang Selasa, 290 tangkapan telah dibuat.

“Kami menjangka demonstrasi akan terus diadakan selama beberapa minggu akan datang,” kenyataan polis menyebut.

Jumlah tangkapan termasuk tiga lelaki dan dua wanita yang ditahan di pejabat syarikat tenaga gergasi Royal Dutch Shell di UK kerana disyaki melakukan kerosakan jenayah.

Aktivis mengecat grafiti dan memecah sebuah tingkap pada bangunan Shell Centre.

Majoriti yang ditangkap kerana melanggar undang-undang ketenteraman awam selain menyekat sebatang lebuh raya.

Protes itu menyaksikan lebih seribu orang menyekat Jambatan Waterloo di te-ngah London dan meletakkan pokok dalam pasu sepanjang jambatan.

Kemudian, orang mendirikan khemah di Hyde Park untuk bersiap sedia bagi demonstrasi seterusnya sepan-jang minggu ini.

Polis telah mengarahkan penunjuk perasaan untuk membataskan diri kepada sebuah zon dalam Marble Arch, ruang di persimpangan Hyde Park, lebuh beli-belah utama Oxford Street, dan lebuh hotel mewah Park Lane.

“Setakat ini kami sudah menutup 55 laluan bas dan akibatnya 500,000 orang terjejas,” kata polis.

Datuk Bandar London Sadiq Khan berkata beliau “amat bimbang” mengenai ranca-ngan penunjuk perasaan untuk mengganggu perkhidmatan bawah tanah pada Rabu.

“Menyasari pengangkutan awam seperti ini hanya akan merosakkan perjuangan semua kita yang mahu menangani perubahan iklim,” beliau menyebut dalam satu kenyataan.

Aktivis mahu kerajaan mengisytiharkan darurat iklim dan ekologi, mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kepada sifar menjelang 2025, menghentikan kehilangan biodiversiti dan dipimpin oleh “dewan warga baharu bagi keadilan ekologi dan iklim”.

Jurucakap ‘Extinction Rebellion’ James Fox berkata kumpulan itu cuba meneruskan sekatan pada waktu malam di empat lokasi di tengah London sebelum polis datang untuk mengenakan larangan baharu.

Penunjuk perasaan meng-ikat diri pada kenderaan dan pada satu sama lain dengan menggunakan rantai basikal, kata jurucakap itu.

“Kami tidak ada hasrat untuk pergi sehingga kerajaan mendengar kami. Kebanyakan kami sanggup mengorbankan kebebasan kami demi perjuangan ini,” katanya. — AFP

Advertisement