Anda di sini

Golf: Mirabel lakar kemenangan pertama ungguli bawah 14 tahun

Advertisement
 Mirabel menunjukkan trofi pertama dimenanginya pada tahun ini.
UNGGUL: Mirabel menunjukkan trofi pertama dimenanginya pada tahun ini.

KUCHING: Pemain golf remaja, Mirabel Ting melakar kemenangan pertamanya pada tahun ini dengan mengungguli kategori bawah 14 tahun Kejohanan Amatur Wanita Australia diadakan di Coolangatta & Tweeds Heads Golf Club, Queensland pada Jumaat lalu.

Bintang kelahiran Miri berusia 13 tahun itu mencatat mata ‘gross’ 233 (78-81-74) ketika mewakili Kelab Golf Antarabangsa Hills dan beliau menentang enam peserta wanita lain dari pelbagai kelab di Australia.

Mirabel menyertai Akademi Golf Hills untuk melanjutkan karier dalam sukan golf dan pengajian bersama abangnya, Malcolm Ting.

Ini merupakan kejohanan kedua disertai Mirabel di Australia dan pada awal tahun ini beliau menduduki tempat keenam dalam kategori individu bersama Doey Choi dari Korea Selatan dan Anika Varma dari India dalam Queen Sirikit Cup di Glenelg Golf Club, Adelaide, Australia.

Beliau bergandingan dengan Liyana Durisc dan Winnie Ng membantu Malaysia berkongsi tempat kelapan dengan Taiwan pada kejohanan itu.

“Ini minggu yang sukar dan mengecewakan. Saya tidak bermain mengikut apa yang diharapkan namun saya gembira dan pengalaman berguna bermain dalam keadaan berangin dan padang yang sukar.

“Sekurang-kurangnya, saya memenangi gelaran Wanita Bawah 14 tahun kali ini dan saya tidak sabar menyertai saingan Asia Pasifik Amatur Wanita di Jepun dua minggu dari sekarang,” katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan termasuk Akademi Golf Hills yang banya membantu memperbaiki kemahiran dan fokus permainannya.

Mirabel dan Malcolm membantu Sarawak memenangi pingat pada SUKMA Perak 2018 turut melakukan persediaan menghadapi Kejohanan Golf Remaja Dunia Ciputra di Jakarta dari 21 hingga 24 Mei depan.

Atlet bayangan SUKMA Sarawak itu juga terlibat pada Terbuka Amatur Malaysia Ke-117 diadakan di Sarawak, Petra Jaya dari 20 hingga 23 Jun depan.

Advertisement