Anda di sini

Entulu nafi penubuhan PSB pecah belah Dayak

Advertisement
 Wong (kanan) menerima borang permohonan menyertai PSB daripada Pengerusi Pengelola PSB Kapit Datuk Kristoffer Nyuak sambil diperhatikan Entulu (dua kanan).
LANCAR: Wong (kanan) menerima borang permohonan menyertai PSB daripada Pengerusi Pengelola PSB Kapit Datuk Kristoffer Nyuak sambil diperhatikan Entulu (dua kanan).

SIBU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun menafikan dakwaan mengatakan penubuhan Parti Sarawak Bersatu (PSB) hanya memecahbelahkan kaum Dayak.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sudah tentu kerajaan Pakatan Harapan (PH) membahagikan kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Dayak antara tiga parti utama PH.

“Sebahagian kerusi DUN diberi kepada PKR, sedikit kepada DAP sebab DAP bertanding hampir semua di kawasan bandar dan sebahagian diberi kepada PPBM.

“Saya ingin bertanya kepada mereka yang masuk PKR, DAP dan PPBM adakah dengan membahagikan kerusi-kerusi DUN Dayak itu akan menyatukan orang Dayak,” katanya pada Majlis Pelancaran PSB Kapit.

Entulu yang juga pengerusi protem PSB Selangau berkata, begitu juga dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat memecahbelahkan orang Dayak menerusi pembahagian kerusi antara parti komponen.

“Adakah semua ini menyatukan orang Dayak. Jika semua berjalan lancar, pembahagian kerusi antara parti-parti dalam GPS akan diteruskan pada PRN akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Parti Rakyat Sarawak (PRS) diberi 11 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen majoriti Dayak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 11 DUN dan 14 Parlimen, Parti Demokratik Progresif (PDP) lapan DUN dan empat Parlimen serta Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) empat DUN dan satu Parlimen.

Entulu berharap PSB dapat menyatukan kaum Dayak yang sebelum ini telah berpecah belah dalam senario politik semasa.

Beliau juga berharap orang ramai faham mengapa PSB ditubuhkan dan mengapa beliau memilih menyertai parti dipimpin oleh Dato Sri Wong Soon Koh itu.

Sehingga kini, PSB sebelumnya dikenali Parti Rakyat Bersatu (UPP) mengembangkan sayap ke luar bandar seperti Sri Aman, Selangau, Ngemah, Kanowit, Krian dan Kapit.

  • oleh
  • Advertisement