Anda di sini

Arifin minta kerajaan sedia peruntukan untuk penulis

Advertisement
ARIFIN ARIF
ARIFIN ARIF

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut Datuk Arifin Arif meminta kerajaan agar menyediakan peruntukan untuk golongan penulis di negeri ini bagi kegiatan penulisan.

Beliau berkata, sumbangan golongan sasterawan, penulis kreatif dan pengarang tanah air tidak dapat disangkal berdasarkan rakaman dan dokumentasi sejarah perjuangan memupuk semangat nasionalisme sejak sebelum kemerdekaan melalui mata pena.

"Selepas 61 tahun kita menikmati kemajuan dalam pelbagai bidang, rakyat gigih bersama kerajaan membangunkan negara hingga ada mencipta nama di luar negara dan dalam hal ini, sasterawan dan pengarang tidak terkecuali menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi," katanya.

Menurut beliau sumbangan golongan penulis di negeri ini bukan sahaja berjaya mencipta nama dalam negara malah turut menerima pengiktiran di peringkat antarabangsa seperti Allayrahman Datuk Ismail Abas (Amil Jaya) dan Datuk Jasni Matlani yang telah menerima Anugerah penghargaan Penulis Asia atau nama aslinya The S.E.A Write.

Arifin berkata kemunculan penulis-penulis muda di negeri ini juga semakin memberangsangkan, dan sebahagian mereka telah menerima pelbagai hadiah serta anugerah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, penulis muda di negeri ini turut sama mengangkat nama Sabah hingga ke persada antarabangsa.

Justeru, katanya, tiba masanya bagi kerajaan melihat perkembangan itu dengan memberikan peruntukan kepada penulis melalui persatuan penulis masing-masing tetapi turut menyediakan dana untuk penulis melakukan penyelidikan dan penerbitan terutamanya buku-buku sejarah berhubung dengan tokoh-tokoh pahlawan Sabah dalam kebangkitan menuntut kemerdekaan dan yang memperjuangkan perjanjian 1963 yang masih agak berkurangan di negeri ini.

"Di kawasan saya (Membakut), kita telah menganjurkan Mahrajan Nusantara Membakut dan setakat ini sudah lapan kali kita laksanakan di mana sambutan serta penyertaan begitu menggalakkan bukan sahaja peserta dalam negara malah turut disertai oleh penulis dari negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura yang secara tidak langsung telah memperkenalkan budaya di Sabah," katanya.

Untuk rekod, sekitar tahun 2012, kerajaan Pusat pernah memperuntukkan dana jutaan ringgit demi menyaksikan penulis kreatif bergiat aktif dalam penulisan melalui penerbitan karya.

Tambah Arifin falsafah pendidikan kesusasteraan Melayu ialah 'Pendidikan Kesusasteraan Melayu' di Malaysia bertujuan menjana minda dan emosi, mengukuhkan jati diri, menyuburkan budaya bangsa dan memupuk sikap berdaya saing ke arah pembinaan insan bestari.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menyambut baik usaha kerajaan untuk membina Balai Budaya di negeri ini.

Selain pembinaannya nanti berkonsepkan budaya pelbagai etnik di Sabah, beliau turut menyarankan agar sebuah dewan untuk para penulis dan penggiat seni berkumpul untuk melaksanakan pelbagai program budaya serta kesusasteraan.

"Percayalah, kesusasteraan akan terus hidup sampai bila-bila, meskipun pengarang yang menulisnya tiada lagi di dunia ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement