Anda di sini

13 pasukan bersaing di Kejohanan Bola Keranjang Piala Shiang Lung

Advertisement
KENT melambung bola sebagai simbolik perasmian untuk memulakan perlawanan.
KENT melambung bola sebagai simbolik perasmian untuk memulakan perlawanan.

LAHAD DATU: Kejohanan Bola Keranjang Piala Shiang Lung kali ke-4 diharap dapat mencungkil bakat pemain seterusnya membentuk pasukan berkebolehan untuk membawa cabaran ke peringkat lebih tinggi.

Pengarah Urusan Shiang Lung Forwarding Agent Sdn Bhd Kent Lim Vun Tung merangkap penaja utama kejohanan berkata beliau positif dengan bakat pemain-pemain di daerah ini yang boleh diketengahkan seterusnya dapat mengharumkan nama Lahad Datu ke persada kejohanan di luar daerah malah lebih tinggi.

"Saya melihat bakat pemain-pemain bola keranjang di daerah ini amat baik dan potensi yang mereka miliki membanggakan.

"Atas sebab itu, saya yakin penganjuran kejohanan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya agar pasukan yang berpotensi boleh dibentuk untuk membawa cabaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Kent juga menyeru agar ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka bersukan dan memberi sokongan pada penglibatan mereka dalam sukan bola keranjang.

Menurutnya, dengan aktif bersukan anak-anak dapat melakukan aktiviti hobi mereka dalam sukan yang diminatinya seterusnya ianya juga bagi mengelakkan mereka dari terjerumus dalam aktiviti tidak berfaedah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan kejohanan itu di Dewan Tun Mustapha.

Kejohanan yang berlangsung mulai 15 hingga 23 April disertai lapan pasukan lelaki iaitu SM St. Dominic, SMK Terusan, SM Chinese A, SM Chinese B, Stage 7 A, Stage 7 B, Hyper X dan Bonfire Wolf.

Manakala cabaran kategori perempuan disertai lima pasukan iaitu SM St. Dominic A, SM St. Dominic B, SM St. Dominic C, SMK Terusan dan Stage 7 Bee.

Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Daerah Lahad Datu, Lam Chee Ming berkata orang ramai boleh menyaksikan perlawanan setiap hari dan masuk adalah percuma.

"Saya berharap orang ramai dapat menyaksikan perlawanan ini kerana ianya kejohanan berprestij seterusnya memberi sokongan moral kepada pemain-pemain yang beraksi dalam kejohanan ini," katanya.

Turut hadir pengerusi penganjur, Ho Cheng Jeng.

Dijangkakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah akan disempurnakan Kent Lim Vun Tung pada 23 April.

  • oleh
  • Advertisement