Anda di sini

PRU India: Latar belakang pendidikan calon jadi isu hangat

Advertisement
 Rahul melambai kepada penyokongnya sewaktu rapat umum politik di perkampungan Asarana, dalam daerah Bhavnagar, kira-kira 300 kilometer dari Ahmedabad pada Isnin, sebelum fasa kedua pilihan raya umum di India. — Gambar AFP
CALON POPULAR: Rahul melambai kepada penyokongnya sewaktu rapat umum politik di perkampungan Asarana, dalam daerah Bhavnagar, kira-kira 300 kilometer dari Ahmedabad pada Isnin, sebelum fasa kedua pilihan raya umum di India. — Gambar AFP

NEW DELHI: Kebiasaannya latar belakang pendidikan tidak menjadi isu utama dalam pilihan raya di India.

Namun, kali ini ia berbeza sama sekali apabila sekurang-kurangnya dalam satu kawasan parlimen, latar belakang pendidikan dua calon yang bertanding menjadi isu hangat.

Ia membabitkan dua calon iaitu Presiden Kongres Nasional India Rahul Gandhi yang bertanding di kubu tradisinya di Amethi, Uttar Pradesh dicabar calon dari Partai Bharatiya Janata (BJP) merangkap menteri perse-kutuan Smriti Irani.

Kem Kongres menyelar Irani kerana bukan lulusan universiti, sementara pemimpin kanan BJP Arun Jaitley pula mempersoalkan bagaimana Rahul memperoleh Sarjana Falsafah dari Universiti Cambridge di Britain tanpa memiliki ijazah sarjana.

“Irani pernah mendaftar untuk mengikuti kursus sarjana di Universiti Delhi tetapi separuh jalan,” kata jurucakap Kongres, Priyanka Chaturvedi sambil mendakwa ia berbeza dengan  maklumat diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya India.

Jaitley, menteri kewangan di kerajaan persekutuan BJP pula mempertikaikan dakwaan Priyanka terhadap Irani, bekas bintang televisyen.

“Kenapa hanya kelayakan calon BJP dijadikan isu sedangkan kelulusan akademik Rahul Gandhi juga menimbulkan banyak persoalan,” tulis Jaitley dalam twitternya.

Dalam kertas pencalonan pilihan raya, Irani mempunyai kelulusan sekolah menengah pada 1991 dan sekolah mene-ngah atas pada 1993.

Kontroversi mengenai latar belakang akademik Rahul dan Irani bukanlah perkara baharu.

Ia dijadikan isu untuk menggugat sokongan pengundi di kawasan mereka bertanding yang merupakan antara kerusi Parlimen paling panas dan popular di India.

Parlimen Amethi sebelum ini diwakili oleh ibu Rahul, Sonia Gandhi dan bapanya merangkap bekas perdana menteri Rajiv Gandhi selama empat penggal.

Rahul kemudian menguasai kerusi parlimen itu selama tiga penggal dengan menewaskan Irani pada pilihan raya 2014. — Bernama

Advertisement