Anda di sini

Penunggang motosikal parah

Advertisement
(Gambar besar) Perlanggaran melibatkan sebuah bas henti-henti dengan sebuah kereta, manakala (gambar kecil) kemalangan di hadapan simpang masuk ke SMK Abaka yang melibatkan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan parah.
(Gambar besar) Perlanggaran melibatkan sebuah bas henti-henti dengan sebuah kereta, manakala (gambar kecil) kemalangan di hadapan simpang masuk ke SMK Abaka yang melibatkan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan parah.

TAWAU: Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas tercampak dari jenteranya dalam kemalangan di hadapan simpang masuk SMK Abaka Jalan Merotai di sini, kira-kira jam 1.15 petang Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Noor Azizulkifli Mansor berkata mangsa, 25, cedera patah tulang paha kanan dan tulang kaki kiri serta pendarahan kepala dan perut.

“Pemandu kereta, lelaki, 26, tidak cedera,” katanya di sini pada Rabu, serta mengesahkan kemalangan itu melibatkan perlanggaran antara motosikal dan kereta.

Beliau berkata siasatan awal polis menunjukkan sebelum kemalangan berlaku, motosikal datang dari arah Bandar Tawau, manakala kereta pula dari arah Jalan Merotai.

Menurutnya, pemandu kenderaan dikatakan memandu ke sekolah terbabit untuk mengambil adik perempuannya namun dilanggar motosikal semasa membelok masuk.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke bahu jalan dan motosikalnya turut mengalami kerosakan teruk, begitu juga kereta terlibat,” katanya.

Noor Azizulkifli berkata sebuah lagi kejadian kemalangan turut dilaporkan di daerah ini melibatkan sebuah bas henti-henti dan sebuah kereta pada hari sama.

Kes kemalangan kedua itu berlaku kira-kira jam 11.20 pagi di kawasan Jalan Utara-Pondok Bas Taman Ria 9 dan tidak ada kecederaan dialami pemandu terlibat dilaporkan.

“Pemandu bas, lelaki, 40, dan pemandu kereta, lelaki, 30, tidak cedera,” katanya dan menambah, siasatan berhubung kes kemalangan terbabit masih lagi dijalankan oleh polis.

Beliau berkata siasatan awal mengesyaki kemalangan berlaku ketika bas dari arah Bandar Tawau ke Pasir Putih, berhenti untuk menurunkan penumpang di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, sebuah kereta melanggar belakang bas itu dari arah belakang, walaupun bas terbabit dikatakan ada memasang lampu isyarat kecemasan berhenti sebelah kiri.

Untuk rekod, siasatan kes pertama dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala kes kedua pula melalui Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan LN 166/ 59.

  • oleh
  • Advertisement