Anda di sini

Pendakwaan gagal kemuka saksi, dua rakan bebas tuduhan cederakan lelaki

Advertisement

KOTA BHARU: Gara-gara pihak pendakwaan gagal mengemukakan saksi, Mahkamah Sesyen di sini semalam membebas tanpa melepaskan dua rakan yang dituduh mencederakan seorang lelaki sehingga putus telinga dalam kejadian Disember 2015.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pembelaan agar kes terhadap Kamarohimi Nordin, 39, dan Muhamad Azroy Saharudin, 33, digugurkan memandangkan pihak pendakwaan masih gagal mengemukakan saksi selepas tujuh bulan kes tertangguh atas sebab sama.

“Kes sudah tertangguh lama tetapi pihak pendakwaan masih gagal untuk mengemukakan saksi kejadian. Pihak pendakwaan sepatutnya lebih bersedia jika mahu meneruskan kes ini,” kata peguam Nik Saiful Adli Burhan yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Semalam kes itu sepatutnya dibicarakan namun Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memaklumkan kepada mahkamah pihaknya hanya dapat menghubungi seorang daripada tiga saksi yang dikenal pasti dan saksi tersebut pula sedang menjalani hukuman di Penjara Machang.

Beliau berkata individu itu pula hanya mengetahui diminta menjadi saksi beberapa hari lepas dan tidak bersedia untuk hadir memberi keterangan semalam.

Abu Arsalnaa seterusnya memohon agar mahkamah menetapkan tarikh lain agar pihaknya dapat membawa saksi itu.

Kedua-dua lelaki berkenaan dituduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, menggunakan sebilah pisau, sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki berusia 56 tahun dalam kejadian jam 8.10 malam pada 14 Dis 2015 di hadapan sebuah rumah di Kampung Raja Panyit, Machang.

Pertuduhan dibuat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat sekiranya disabitkan kesalahan. — Bernama

Advertisement