Anda di sini

Pemain bola sepak Limbang digesa untuk jalani pemeriksaan kesihatan

Advertisement
 Frederick bersalaman dengan pasukan dari Brunei Stone Ville FT yang menyertai Piala Veteran 2019.
SELAMAT BERTANDING: Frederick bersalaman dengan pasukan dari Brunei Stone Ville FT yang menyertai Piala Veteran 2019.

LIMBANG: Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang (LFA) mahu setiap pengurus pasukan khususnya Piala Veteran yang sedang rancak berlangsung sekarang untuk memaklumkan kepada pemain mereka agar menjalani pemeriksaan kesihatan.

Timbalan Presiden LFA Frederick Lalong berkata, perkara tersebut sudah diusulkan pada mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan Piala Veteran baru-baru ini.

Jelasnya, pemeriksaan kesihatan dalam kalangan pemain terutama pada Piala Veteran ini perlu dilakukan bagi mengelak berlakunya insiden tidak diingini semasa perlawanan dijalankan.

“Bagi mengelak sebarang insiden buruk berlaku semasa perlawanan dijalankan, maka pihak Limbang FA dengan penuh merayu kepada semua pengurus pasukan untuk memaklumkan kepada semua pemain agar menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada media semalam.

Mengulas mengenai Piala Veteran sekarang, Frederick berkata, sembilan pasukan termasuk sebuah pasukan dari Brunei iaitu Stone Ville FT menyertai Piala Veteran 2019.

“Piala Veteran berlangsung meriah di Padang Majlis Daerah Limbang (MDL) dan Kompleks Sukan Limbang dengan peringkat pusingan kumpulan.

“Sambutan yang diterima amat mengalakkan khususnya kehadiran bekas-bekas pemain Sarawak dan bekas pemain kebangsaan Brunei yang membarisi skuad Stone Ville FT,”katanya.

Pasukan yang bertanding termasuk StoneVille FT, PML, Punang FC, LBA dan KPR (Zon A) dan Zon B yang dibarisi pasukan Mevec, ABC Club Otai, Kebsta dan Tiger FC.

Juara bakal membawa pulang wang tunai RM1,500, Piala Residen Limbang dan pingat, naibjuara pula akan menerima RM1,000 dan ketiga bersama akan mendapat RM500.

Advertisement