Anda di sini

Peguam Najib kemuka dokumen tambahan

Advertisement
 Najib hadir pada hari ketiga perbicaraan kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur di ibu negara semalam. — Gambar Bernama
TENANG: Najib hadir pada hari ketiga perbicaraan kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur di ibu negara semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengemukakan beberapa dokumen tambahan berhubung transaksi perbankan berjumlah RM94.7 juta membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd dan syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd kepada Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menerima dokumen itu sebagai eksibit pembelaan.

Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, mengemukakan dokumen mengandungi butiran transaksi itu yang diterima Pegawai Penggeledah Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41, daripada Pengurus Ambank Cawangan Raja Chulan, R. Uma Devi.

Menurut Harvinderjit, dokumen itu diserahkan Uma Devi ketika Azizul Adzani mengadakan serbuan membabitkan siasatan kesalahan obligasi pelaburan yang dikendalikan BNM pada 6 Julai 2015.

Bagaimanapun, Azizul Adzani yang kini Pengurus BNM, menjawab “tidak ingat” ketika disoal sama ada butiran transaksi dalam dokumen tambahan itu adalah sama dengan apa yang beliau rekodkan dalam senarai geledah semasa membuat serbuan.

Harvinderjit: Pada 24 Dis 2014, terdapat transaksi wang berjumlah RM40 juta yang berkemungkinan dikeluarkan daripada SRC dan dimasukkan ke dalam akaun Gandingan Mentari.

Azizul Adzani: Tidak ingat.

Harvinderjit: Terdapat transaksi wang berjumlah RM5 juta pada 5 Februari 2015 yang berkemungkinan dikeluarkan daripada SRC dan dimasukkan ke dalam akaun Gandingan Mentari.

Azizul Adzani: Tidak ingat.

Harvinderjit: Terdapat juga transaksi wang berjumlah RM39.7 juta pada 9 Januari 2015, yang berkemungkinan dikeluarkan daripada SRC dan dimasukkan ke dalam akaun Gandingan Mentari serta satu lagi transaksi wang berjumlah RM10 juta pada 13 Februari tahun sama yang berkemungkinan dikeluarkan SRC dan dimasukkan ke dalam syarikat sama.

Azizul Adzani: Tidak ingat.

Sementara itu, Azizul memaklumkan bahawa terdapat dua akaun milik Najib yang telah ditutup pada Ogos 2013.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. — Bernama

Advertisement