Anda di sini

Pedalaman tekad buat kejutan

Advertisement
FABIAN (kiri) bersama anaknya Fabio antara anggota skuad Pedalaman ke Kejohanan Tinju Piala Presiden 2019.
FABIAN (kiri) bersama anaknya Fabio antara anggota skuad Pedalaman ke Kejohanan Tinju Piala Presiden 2019.

KOTA KINABALU: Pasukan Pedalaman bertekad menghadirkan kejutan pada penampilan pertamanya di Kejohanan Tinju Piala Presiden 2019.

Pengurus pasukan, Fabian Tony Peter berkata, mereka bertekad membawa pulang gelaran juara kejohanan itu yang akan berlangsung di Dewan Luyang dekat sini pada 23-25 April.

Katanya, pencapaian baik pada kejohanan itu juga akan memberi persiapan terbaik dan sebagai suntikan semangat untuk mereka mempertahankan gelaran juara Terbuka Sabah Piala Mayor 2019 yang dijadualkan berlangsung pada Julai.

Skuad Pedalaman menghantar pasukan dengan kekuatan lapan peninju dari Keningau dan Tambunan.

Peninju itu terdiri daripada William Peter dari Keningau yang akan bertanding dalam kategori 49kg, Fabio Peter Fabian (Tambunan - 52kg), Frinkline J Liman (Tambunan - 56kg), Moen Justinus (Keningau - 60kg), Kevin Albert (Keningau - 64kg), Jeamsson Johnny (Tambunan - 68kg), Samuel J Michael (Keningau - 75kg) dan Addle Joel (Tambunan - 81kg).

William adalah pemenang pingat emas Sukan Sabah (SAGA) 2017 Sandakan manakala Samuel pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 Sarawak.

Addle pula adalah pemenang pingat emas kejohanan remaja 2018 sementera Fabio adalah peninju terbaik Kejohanan Remaja 2017 dan peninju Pra SUKMA 2018.

Bagaimanapun, Pedalaman kehilangan peninju sensasi dari Tambunan, Rendell R Kadayum yang sepatutnya bertanding dalam kategori 60kg tetapi tidak dapat disenaraikan ke Piala Presiden kerana komitmen kerja.

"Rendell bagaimanapun akan menyertai semula pasukan untuk membantu pasukan mempertahankan gelaran juara di Terbuka Sabah Piala Mayor," kata Fabian ketika dihubungi hari ini.

Fabian meminta semua peninju yang tersenarai memanfaatkan baki tempoh yang ada untuk membuat persiapan terakhir.

"Peninju di Keningau diminta berlatih di Mini Dewan Bingkor Keningau manakala peninju Tambunan di Kompleks Sukan Tambunan," kata Fabian yang juga presiden dan jurulatih Persatuan

Tinju Daerah Tambunan serta naib presiden dan jurulatih Persatuan Tinju Sabah.

Di Tambunan, Fabian akan dibantu Timmy A Mylon selaku penolong jurulatih manakala jurulatih Keningau ialah Arthur Udang.

  • oleh
  • Advertisement