Anda di sini

MTE 2019 bakal berlangsung 24 hingga 27 April ini

Advertisement
 

SHAH ALAM: MTE Exhibition Sdn Bhd mengumumkan kemunculan semula Pameran Alat Perkakasan dan Mesin Antarabangsa Malaysia atau Metal Technology Expo (MTE 2019), yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 27 April ini di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor.

MTE 2019 sememangnya dikenali sebagai sebuah ekspo yang penting dalam industri perkilangan kerana ia merupakan platform untuk mempromosikan industri perkakas logam, alat mesin dan industri perkilangan Malaysia dengan mengumpulkan syarikat tempatan dan antarabangsa untuk bertemu, bertukar maklumat dan idea.

Pada masa sama, tujuan peranan ini diadakan adalah untuk mempamerkan rangkaian produk, trend dan teknologi terkini di pasaran.

Pengarah Urusan Pameran MTE Dennis Lim berkata, MTE 2019 akan terus menjadi sebagai sebuah pameran kerja logam kebangsaan yang penting sekali gus memainkan peranan penting dalam industri pembuatan Malaysia.

“Pameran MTE akan bekerjasama dengan para peserta pameran, rakan kongsi sokongan dan industri perkilangan untuk mengharungi kesukaran yang dihadapi dengan persekitaran pasaran yang mencabar.

“Sektor perkilangan tempatan sebelum ini telah melalui tempoh yang agak ketinggalan dan kini menuju ke arah pulangan yang lebih baik.

“Oleh itu, saya percaya bahawa pameran pada tahun ini adalah waktu yang sesuai untuk menyemarakkan persepsi pelanggan, menentukan kewujudan jenama, menentukan bahagian pasaran dan menaikkan semula industri,” katanya.

Tambah Dennis lagi, MTE 2019 juga akan mempamerkan produk dan penyelesaian yang berkaitan dengan Industri 4.0 sejajar dengan dasar kerajaan Malaysia mengenai Industri 4.0.

“MTE 2019 pasti akan dapat menyediakan pemilik kilang, MNC dan PKS dengan pemahaman yang lebih baik mengenai Industri 4.0 dan implikasinya serta membolehkan mereka melaksanakan inisiatif ini untuk meningkatkan proses pengeluaran mereka,” katanya.

Pameran yang bakal berlangsung selama empat hari ini juga akan menampilkan pelbagai penyelesaian dalam alat mesin dan teknologi kerja logam yang khusus disediakan untuk menarik para pengusaha industri dari semua sektor pembuatan seperti industri aeroangkasa, automotif, minyak dan gas, pembuatan perubatan, sektor kerja logam serta elektrik dan elektronik.

Meliputi 25,000 meter persegi ruang pameran, seramai 350 syarikat dari 24 buah negara akan turut serta dalam pameran ini.

Antara syarikat gergasi yang bakal menyertai pameran ini ialah Alfa Gamma, AM Machinery, APM, Asia Tools, CK Mac, Dine, DKSH, Dynarco, Engineering Aids, Flexmech, Glomato, Haas, Hasil Karya, Highrise, IPM, Itec, Kiswel, KL Industries, Kobeco, Logamweld, Loyal Tools, M.L Precise, Maho, Make Laser, MES Moulding, Metrol, Mitutoyo, MSP, NCT, RA Machinery, Solid Black, Tongtai, TSM Welding, TTMC, Vista, XTS Technologies, YCE dan banyak lagi.

Acara ini dijangka menarik seramai 15,000 pengunjung dari sektor perkilangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai MTE 2019, layari laman web: www.mtexpo.com.my, atau hubungi MTE Exhibition Sdn Bhd di [email protected].

  • oleh
  • Advertisement