Anda di sini

Lelaki OKU pecah rumah, curi dihukum penjara tiga tahun

Advertisement

IPOH: “Pergilah masjid, dekatkan diri dengan tuhan, (jadilah) orang baik-baik dan bermuhasabah diri ketika berada di penjara nanti serta berhentilah hisap dadah,” demikian nasihat hakim Mahkamah Sesyen kepada seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas mengaku bersalah melakukan pecah rumah dan mencuri, bulan lepas.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara sejak tarikh ditangkap pada 2 April lepas terhadap Khairul Amri Ulul Azmi, 33, yang kudung kaki kanan akibat kemalangan motosikal pada 2017.

“Mahkamah bukan tidak mengambil kira masalah kecacatan, kita kesian dekat awak tetapi kita perlu mengambil kira kepentingan awam. Saya harap penjara selama tiga tahun ini nanti awak dapat memperbaiki diri supaya keluar menjadi orang yang lebih baik,” kata Azman dalam penghakimannya.

Berdasarkan pertuduhan, Khairul Amri memecah masuk rumah milik Zahirah Othman, 56, dan mencuri wang tunai RM520 dan satu tabung; seutas jam tangan jenama Casio; tiga utas rantai leher emas, tiga bentuk cincin emas serta satu telefon bimbit jenama Oppo dengan nilai keseluruhan kira-kira RM10,000.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengutip biji sawit di kampung melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Kampung Telok Manis Layang-Layang Kiri, Parit, antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi, pada 24 Mac lepas.

Mengikut fakta kes, Khairul Amri telah memecah masuk melalui pintu pagar belakang rumah yang tidak berkunci di mana ketika itu penghuni rumah sedang tidur dan tidak menyedari kehadirannya.

Bagaimanapun, pengadu Zahirah yang menyedari keadian itu kira-kira jam 9 pagi, pada 24 Mac terus membuat laporan polis sebelum Khairul Azmi ditahan pada 2 April dan menemui jam tangan milik mangsa pada tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan mana-mana kesalahan itu dilakukan kali kedua atau yang kemudiannya bolehlah dikenakan denda atau sebat. — Bernama

Advertisement