Anda di sini

Kejohanan takraw Piala Sarawak kembali

Advertisement
 Hasweera (tiga kanan) melakukan simbolik penyerahan trofi kejuaraan kepada Abng Khalid sambil disaksikan (dari kanan) Wan Iskandar, Ismail, Fudin dan Jaffary.
JADI REBUTAN: Hasweera (tiga kanan) melakukan simbolik penyerahan trofi kejuaraan kepada Abang Khalid sambil disaksikan (dari kanan) Wan Iskandar, Ismail, Fudin dan Jaffary.

KUCHING: Selepas berehat selama empat tahun, saingan sepak takraw berprestij Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak bakal kembali menemui peminat.

Untuk edisi kali ini, Bahagian Betong dipilih sebagai tuan rumah yang akan berlangsung dari 19 hingga 21 April ini di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong.

“Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) akan menganjurkan Kejohanan Piala Sarawak 2019 dari 19 hingga 21 April di Betong kerana kita mahu penganjuran kejohanan ini diadakan secara giliran di seluruh negeri.

“Untuk edisi kali ini, ia akan disertai 11 pasukan terdiri daripada ahli gabungan termasuk PDRM,” menurut Presiden PSS, Tan Sri Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki pada majlis penyerahan trofi di Pejabat PEKEMA semalam.

Abang Khalid berkata, edisi kali ini akan mempertandingkan dua kategori iaitu berkumpulan dan beregu.

Serentak dengan itu, PSS menurut Abang Khalid akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSS pada 18 April juga di Betong.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas atas sokongan sumbangan dana bagi penganjuran kejohanan ini.

“Harapan kita agar kejohanan kali ini akan berlangsung dengan jayanya sekali gus mencapai objektif utama persatuan untuk mempromosi sukan warisan ini di seluruh negeri,” katanya lagi.

Tambah Abang Khalid, kejohanan itu juga menjadi platform program pembangunan penting kepada PSS untuk mencungkil bakat-bakat baharu untuk diserap dalam skuad SUKMA Sarawak.

Hadir sama semalam Timbalan Presiden PSS Datuk Ismail Ahmad Saufi, Setiausaha Agung PSS Hasweera Hassan, Bendahari PSS Wan Iskandar Wan Zain, Pengerusi Kejohanan Fudin chee dan Ketua Teknikal Kejohanan Jaffary Idris.

Sementara itu, Betong diletakkan dalam Kumpulan A bersama Samarahan, Mukah, Sri Aman, Miri dan Limbang.

Manakala PDRM, Bintulu, Sibu, Kuching dan Sarikei akan berentap dalam Kumpulan B.

  • oleh
  • Advertisement