Anda di sini

Kebakaran besar jejas Katedral Notre Dame

Advertisement
 Anggota bomba memadamkan api yang berkepul-kepul dari bumbung Katedral Notre Dame di Paris pada Isnin. — Gambar AFP
HANGUS: Anggota bomba memadamkan api yang berkepul-kepul dari bumbung Katedral Notre Dame di Paris pada Isnin. — Gambar AFP

PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron berikrar untuk membina semula Ka-tedral Notre Dame di Paris, selepas kebakaran besar menyelubungi bangunan tersebut, menyebabkan puncak menara gereja itu roboh dan meranapkan warisan selama berabad-abad.

Macron menyuarakan rasa lega “perkara terburuk telah dielakkan” dalam kebakaran yang pada satu detik meng-ancam seluruh bangunan bersejarah itu, dan mengejutkan Perancis berhubung kerosakan kepada sebuah bangunan yang digambarkan sebagai jiwa negara tersebut.

Kebakaran memusnahkan bumbung tanda mercu warisan dunia UNESCO berusia 850 tahun itu, dan puncak menara Gothik yang menakjubkan runtuh apabila api oren dan awan asap kelabu naik berkepul-kepul ke udara.

Kira-kira 400 anggota bomba berusaha sepanjang malam untuk mengawal kebakaran, dan mengisytiharkan pada awal pagi Selasa bahawa kebakaran sudah terkawal, kira-kira sembilan jam selepas ia berlaku.

Ketua Jabatan Bomba Paris Jean-Claude Gallet berkata “kita boleh menganggap struktur utama Notre Dame sudah diselamatkan dan dipelihara” selain dua menaranya.

“Notre Dame terselamat dalam semua peperangan, semua serangan bom. Kami tidak pernah menyangka ia dapat terbakar. Saya rasa amat sedih dan kosong,” kata Stephane Seigneurie, seorang perunding yang menyertai pemerhati lain yang terkejut untuk menyanyikan lagu ‘Ave Maria’ yang suram sambil melihat kebakaran dari sebuah jambatan berdekatan.

Cungapan dan jeritan “Ya Tuhanku” meletus kira-kira sejam selepas kebakaran bermula apabila bahagian atas puncak menara gereja runtuh.

“Kita telah menerima tamparan hebat,” kata Uskup Agung Michel Aupetit dari Paris yang kelihatan sedih.

Punca kebakaran tidak segera jelas, tetapi katedral itu telah menjalani kerja pemulihan terperinci yang menurut jabatan bomba mungkin ada kaitan dengan kebakaran itu.

Pendakwa raya Perancis berkata ia kini dianggap sebagai satu kemalangan.

Pakar sejarah menyuarakan rasa tidak percaya dengan keruntuhan sebuah bangunan yang sudah menjadi simbol Perancis hampir selama satu alaf.

“Jika Paris adalah Menara Eiffel, maka Perancis adalah Notre Dame. Ia adalah seluruh kebudayaan, seluruh sejarah Perancis yang dijelmakan dalam monumen ini,” kata Bernard Lecomte, seorang penulis dan pakar dalam sejarah agama kepada BFM TV.

Timbalan Datuk Bandar Paris Emmanuel Gregoire memberitahu saluran itu bahawa pekerja bergegas “untuk menyelamatkan semua hasil seni yang dapat dise-lamatkan”.

Pegawai kerajaan kemudian berkata pasukan berjaya menyelamatkan khazanah budaya yang belum diketahui jumlahnya.

Macron membatalkan rancangan untuk menyampaikan ucapan dasar dan terus pergi ke lokasi kebakaran, di mana beliau berikrar katedral itu akan dilahirkan semula.

“Kita akan membina semula Notre Dame kerana itulah apa yang dijangkakan oleh rakyat Perancis,” katanya, yang menggambarkan Notre Dame sebagai “nadi kehidupan kita” dan katedral “seluruh Perancis, baik dari segi keagamaan mahupun tidak.

Dinasti Pinault yang bilio-nair di Perancis segera menjanjikan 100 juta euro (RM480 juta) untuk usaha tersebut.

Canselor Jerman Angela Merkel menyifatkan Katedral Notre Dame sebagai “simbol kebudayaan Eropah” ketika kebakaran berlaku.

Vatikan pada Isnin me-        nyuarakan “rasa tidak percaya” dan “rasa sedih” me-ngenai kebakaran itu.

Seorang anggota bomba cedera serius dalam kebakaran itu, kata jabatan bomba.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam satu tweet berkata ia adalah “teruk” untuk melihat kebakaran itu tetapi menimbulkan kontroversi apabila beliau memberikan nasihat mengenai cara untuk memadamkannya.

“Mungkin tangki air terbang boleh digunakan untuk mema-damkannya. Mesti bertindak dengan cepat!” katanya.

Namun jabatan keselamatan awam Perancis, yang menyelia pengurusan krisis di negara itu, tweet balik kepada Trump bahawa penggunaan pesawat pengebom air tidak dipertimbangkan.

“Jika digunakan, ia dapat menyebabkan keruntuhan seluruh struktur katedral,” katanya.

Katedral itu terletak di bahagian tengah ibu negara Perancis pada Zaman Perte-ngahan dan pembinaannya siap pada pertengahan abad ke-12 selepas kerja kira-kira selama 200 tahun.

Sewaktu Revolusi Perancis pada abad ke-18, katedral itu dirosakkan dalam keganasan anti-Katolik yang berleluasa: puncak menara gereja dibuka, khazanahnya dijarah dan patung besarnya di pintu masuk utama dimusnahkan.

Ia seterusnya dipaparkan sebagai watak utama dalam sebuah novel Victor Hugo yang diterbitkan pada 1831 ‘The Hunchback of Notre Dame’ dan tidak lama kemudian satu projek pemulihan selama dua dekad bermula, diketuai arkitek Eugene Viollet-le-Duc.

Bangunan itu terselamat daripada kemusnahan dua konflik global pada abad ke-20 dan mencipta sejarah apabila ia membunyikan locengnya pada 24 Ogos 1944, hari Pembebasan Paris daripada penjajahan Jerman pada hujung Perang Dunia Kedua.

“Paris telah dicacatkan. Bandar raya ini tidak akan seperti dahulu,” kata Philip-pe, seorang pekerja komunikasi pada pertengahan usia 30-an.

Jacky Lafortune, seorang artis berusia 72 tahun yang mengaku tidak percaya kepada kewujudan Tuhan, berdiri dengan sayu di tebing Sungai Seine sambil merenung kate-dral berkenaan.

Sambil membandingkan suasana di ibu negara Perancis dengan keadaan selepas serangan pengganas, dia berkata: “Tetapi ini me-nimbulkan emosi yang jauh lebih mendalam kerana Notre Dame berkait rapat dengan asas sebenar kebudayaan kita.” — AFP

Advertisement