Anda di sini

Dadah bernilai lebih RM20 juta dilupus

Advertisement
 

JOHOR BAHRU: Polis Johor hari ini melupuskan barang kes dadah yang dirampas dari tahun 2006 sehingga tahun lepas bernilai RM20.61 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor ACP Lukas Aket berkata JSJN Johor berkata pelupusan barang kes itu melibatkan sebanyak 159.07 kg dan 42.30 liter pelbagai jenis dadah yang telah selesai diproses analisis kimia dan perundangan.

“Antara barang kes dadah yang dirampas ialah heroin (0.97 kilogram), cannabis (30.95 kilogram), ketamine (116.71 kilogram), MDMA (6.41 kilogram), lain-lain dadah (1.33 kilogram), bahan kimia (2.54 kilogram), codeine (7.60 liter) dan mitragynine (34.76 liter)," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Menurut Lukas, jumlah dadah tersebut hasil daripada 3,874 kes melibatkan tangkapan seramai 5, 087 orang.

“Pada tahun 2017, JSJN Johor telah berjaya melupuskan sebanyak 2,863 kg pelbagai jenis dadah manakala tahun lepas, sebanyak 66.43 kg pelbagai jenis dadah dan 60 liter ubat batuk berjaya dilupuskan," kata Lukas.

Menurut beliau, polis akan melupuskan kesemua bahan tersebut di pusat pelupusan sisa buangan terjadual di Bukit Pelanduk, Negeri mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

“Oleh itu, komitmen dan usaha yang dilaksanakan oleh pihak polis dalam memastikan setiap rampasan dadah berjaya dilupuskan akan diteruskan sehingga tiada ruang bagi penjenayah dadah untuk menjalankan aktiviti haram mereka,” tambah beliau. - Bernama

Advertisement