Anda di sini

Awang Mahyan tak sangka dipilih Naib Presiden I PLBM

Advertisement
 Awang Mahyan Awang Mohamed (duduk kanan) bersama Wan Nawawi (duduk tengah), Tengku Noor (dua kanan) dan barisan Exco PLBM yang baharu.
MAJUKAN BOLING PADANG: Awang Mahyan Awang Mohamed (duduk kanan) bersama Wan Nawawi (duduk tengah), Tengku Noor (dua kanan) dan barisan Exco PLBM yang baharu.

KUCHING: Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA), Awang Mahyan Awang Mohamed mendapat kepercayaan Persekutuan Lawn Bowl Malaysia (PLBM) selepas dipilih memegang jawatan Naib Presiden I badan induk sukan boling padang negara itu.

Beliau melakar kejutan dengan menewaskan pencabarnya, Datuk Shukri Ali dari Kedah, 39-12 pada Mesyuarat Agung Dwitahunan PLBM Ke-23 bagi penggal 2019/2021 yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara, hujung minggu lalu.

Sekali gus ia menjadikan pelopor ‘Ngap Sayot’ berusia 69 tahun itu individu pertama dari Bumi Kenyalang duduk di kerusi empat nama teratas PLBM.

“Saya memang tidak menjangka dipilih sebagai Naib Presiden I kerana lawan yang saya tentang iaitu Datuk Shukri (Ali) juga nama besar dalam sukan boling padang negara.

“Apapun, terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang sebulat suara memilih saya untuk jawatan tersebut.

“Ia bukan tugas mudah namun saya sedia memikul tanggungjawab diberikan dengan baik untuk membawa kejayaan lebih besar dalam arena boling padang negara,” kata Awang Mahyan ketika ditemui semalam.

Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Kejurulatihan Dan Pembangunan PLBM berikrar akan terus mengangkat martabat sukan boling padang di Sarawak.

Mesyuarat tempoh hari turut menyaksikan tiga nama besar iaitu Dato Wan Nawawi Wan Ismail, Yang Mulia Datin Tengku Noor Hazah Tengku Abdul Aziz Shah dan Dato Awalan Abdul Aziz masing-masing memegang jawatan Presiden, Timbalan Presiden I & II PLBM selepas menang tanpa bertanding.

Manakala Roslan Ismail memegang portfolio Naib Presiden II PLBM.

Advertisement