Anda di sini

30 pelajar Kolej Vokasional Bintulu sertai klinik asas lawan pedang

Advertisement
 Peserta bergambar kenangan dengan jawatankuasa penganjur klinik.
UNTUK ALBUM: Peserta bergambar kenangan dengan jawatankuasa penganjur klinik.

KUCHING: Seramai 30 pelajar dalam pelbagai jurusan kemahiran teknikal di Kolej Vokasional Bintulu telah menyertai Klinik Asas Sukan Lawan Pedang yang berakhir semalam.

Klinik sehari itu dirasmikan oleh Pegawai Penguasa Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Bahagian Bintulu, Eric Filbert Sihat.

Hadir sama Setiausaha Persatuan Sukan Lawan Pedang Sarawak (PSLPS), Affandi Ahmad.

Dalam ucapan ringkasnya, Eric berharap klinik tersebut adalah salah satu daripada usaha Bahagian Pembangunan Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) untuk memperbanyakkan pusat-pusat latihan pembangunan sukan di Sarawak.

Selain itu, ia bertujuan untuk mencari bakat-bakat baru di samping untuk mendedahkan mereka dalam pengetahuan asas dalam sukan, katanya.

“Saya yakin para peserta yang menyertai klinik ini, dapat mengunakan peluang semasa berkursus untuk menimba sebanyak mana pengalaman yang boleh sebagai langkah awal kepada mereka untuk menjadi atlet yang mantap dan mahir dalam sukan lawan pedang,” kata Eric.

Sementara itu, Affandi dalam ucapan alu-aluannya berkata ini adalah klinik kelima pernah dikelolakan di Bahagian Miri, Bintulu, Limbang dan Lawas yang telah menarik minat seramai 500 pelajar sekolah.

Perancangan terdekat PSLPNS katanya, adalah untuk mengelola klinik serupa di SM Sains Miri dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri pada 27 April ini.

Klinik sehari itu anjuran bersama SSC, PSLPS dan Kolej Vokasional Bintulu.

Ia dikendalikan oleh Ketua Jurulatih Sukan Lawan pedang Sarawak, Iwan Iskandar.

Advertisement