Anda di sini

Tujuh rumah rosak dilanda ribut di Kubang Pasu

 Siti membuang dahan pokok yang patah selepas sebatang pokok tumbang menghempap rumahnya dalam kejadian ribut di Kampung Pulau Ketam petang, Jitra semalam. — Gambar Bernama
BILA ALAM BERSUARA: Siti membuang dahan pokok yang patah selepas sebatang pokok tumbang menghempap rumahnya dalam kejadian ribut di Kampung Pulau Ketam petang, Jitra semalam. — Gambar Bernama

JITRA: Tujuh rumah di sekitar Kepala Batas, Changlun, Jitra, dan Kodiang, rosak teruk dalam kejadian ribut yang berlaku petang kelmarin.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang kelmarin, APM menerima tujuh kes, enam kes membabitkan pokok tumbang menghempap rumah dan satu kes melibatkan bumbung rumah yang diterbangkan angin.

“APM yang menerima laporan kejadian itu kemudian bergegas ke lokasi terbabit bagi membantu mengalihkan pokok yang tumbang serta membersihkan kawasan yang terjejas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, seorang mangsa dari Kampung Pulau Ketam yang ditemui Bernama, Siti Hajartul Haini Abdul Hanif, 32 berkata, beliau mengalami kerugian hampir RM30,000 apabila bumbung rumahnya ditimpa pokok berhampiran.

Katanya, angin kuat berserta hujan menyebabkan dia bersama tiga anaknya berusia dua hingga sembilan tahun terpaksa berlindung di sebuah bilik sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian bumbung ruang tamu rumahnya.

“Selepas angin reda, saya sedih melihat pokok ketapang berusia lebih 20 tahun telah menghempap rumah kami hingga keseluruhan bumbung rosak dan dinding rumah retak. Perabot rumah turut rosak selepas terkena hujan,” kata Siti Hajartul Haini.

Dalam pada itu, difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat bancian kerosakan terhadap rumah-rumah yang terlibat bagi menghulurkan bantuan. — Bernama