Anda di sini

Shell bina kemudahan penyimpanan termaju

Advertisement
 Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo (empat kiri) melancarkan tangki penyimpanan bahan api moden yang baharu dan satu lagi ruang punggah tambahan di Westports, Pelabuhan Klang.
LANCAR: Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo (empat kiri) melancarkan tangki penyimpanan bahan api moden yang baharu dan satu lagi ruang punggah tambahan di Westports, Pelabuhan Klang.

KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan keupayaannya dalam memenuhi permintaan bahan api Shell yang semakin meningkat di kawasan tengah Semenanjung Malaysia, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dengan rasminya melancarkan tangki penyimpanan bahan api moden yang baharu dan satu lagi ruang punggah tambahan di Westports, Pelabuhan Klang.   

Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo berkata: “Kami gembira mengumumkan bahawa kemudahan penyimpanan baharu di Westports ini akan membolehkan Shell memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi produknya di Lembah Klang.

“Kemudahan baharu yang cekap ini akan meningkatkan daya saing Shell dan memastikan keupayaan Shell untuk memenuhi semua keperluan pelanggan.

“Shell telah menyumbang kepada kemajuan Malaysia sejak 128 tahun lalu dan akan terus melabur dalam mengukuhkan kehadirannya di negara ini dengan menawarkan bukan sahaja produk berkualiti tinggi, tetapi juga perkhidmatan yang cekap yang memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan,” katanya pada majlis perlancaran tangki penyimpanan bahan api tersebut dan satu lagi ruang punggah tambahan di Westports, Pelabuhan Klang, semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Westports Malaysia Sdn Bhd, Datuk Ruben Emir Gnanalingam.

Tangki baharu ini yang merupakan kemudahan ke-10 yang dimiliki Shell di terminal ini dibina di bawah Fasa 4 Pelan Pengembangan Terminal Shell Westports.

 Selain daripada tangki simpanan 10 juta liter baharu, pelan pengembangan ini juga merangkumi sebuah ruang punggah yang baharu dengan enam lengan penyalur yang dikonfigurasikan untuk menyalurkan tiga produk bahan api Shell yang utama - Fuelsave 95, V-Power 97 dan Fuelsave Euro 5 Diesel - pada kadar 1,800 liter seminit.

Ini meningkatkan kecekapan proses pemuatan untuk lori tangki jalan raya. Lori-lori tangki kini boleh dimuat sepenuhnya dalam masa 25 minit, seterusnya dapat mengurangkan kesesakan di Terminal Pengedaran Lembah Klang (KVDT).

Tangki penyimpanan ini dibina dengan menggunakan kaedah ‘jack-up’ yang inovatif dan bukannya proses bawah-atas tradisional. Di sini, bahagian atas tangki termasuk bumbung yang dibina terlebih dahulu sebelum diangkat dengan hidraulik, yang membolehkan bahagian bawah dipasang.

Ini mengurangkan penggunaan perancah, keperluan pekerja bekerja pada ketinggian dan membina pembinaan diteruskan dengan selamat dan dapat disiapkan lebih awal daripada jadual, walaupun wujud sekatan ruang dan aktiviti yang sedang berjalan di sekitarnya.

Kejayaan menyiapkan Fasa 4 Pelan Pengembangan Terminal Shell Westports merupakan bukti kukuh kerjasama yang rapat dan piawaian keselamatan yang tinggi yang diterima oleh pasukan dari Shell Malaysia, Westports Malaysia Sdn Bhd, perunding dan kontraktor projek.

  • oleh
  • Advertisement