Anda di sini

Penyeludup tokek didenda RM30,000, penjara lapan bulan

Advertisement
ARIF menjadi individu pertama dijatuhkan hukuman di Sabah kerana memiliki tokek secara haram.
ARIF menjadi individu pertama dijatuhkan hukuman di Sabah kerana memiliki tokek secara haram.

TAWAU: Seorang penyeludup tokek dari negara jiran menjadi individu pertama dihukum di Sabah apabila mengaku bersalah memiliki spesies itu secara haram di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Arip Samsudin, 42, didenda RM30,000 dan penjara lapan bulan selepas mengaku memiliki empat tokek di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Hakim turut memerintahkan supaya tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama sembilan bulan jika gagal melunaskan dendanya, serta berjalan berasingan.

Mengikut pertuduhan kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahannya pada 22 Februari kira-kira jam 11 pagi di salah sebuah bilik hotel yang terletak di kawasan Bandar Fajar.

Tertuduh didakwa memiliki empat tokek (cicak genko/Gekko Gecko), spesies dilindungi dalam Bahagian 1 Jadual 2 73A Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997.

Sekaligus, membuatkan tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (2) EPHL 1997 dan boleh dihukum berdasarkan Seksyen 41 (4) (b) enakmen yang serupa.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda antara RM30,000 hingga RM100,000 atau dipenjarakan selama enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Fakta kes menunjukkan, tertuduh ditangkap sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau bersama kakitangan Pejabat Hidupan Liar Tawau.

Hasil siasatan mendapati empat tokek yang ditemui dalam bilik suspek, dibawa masuk dari Indonesia dan suspek tidak mempunyai permit untuk memiliki haiwan berkenaan.

Berikutan itu, kesemua tokek terbabit dirampas menerusi Seksyen 89 (1) EPHL 1997 dan Seksyen 89 (2) enakmen yang sama untuk tindakan lanjut Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Semasa prosiding mahkamah berlangsung, tertuduh, Arip, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri mengaku baharu pertama kali datang ke Daerah Tawau.
Arip juga mengaku membeli tokek-tokek itu di Indonesia dan menyeludup spesis itu ke Tawau kerana diberitahu ada pihak mahu membelinya dengan harga RM200 seekor.

Namun, hakim menolak pengakuan Arif kononnya baharu pertama kali ke Tawau, kerana tertuduh jelas mempunyai ramai kenalan dan tahu selok belok pasaran tokek di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Pendakwa Abdul Karim Dakog memberitahu bahawa keempat-empat ekor tokek terbabit sudah dilepaskan di sebuah kawasan hutan simpan pada 7 April sebaik menerima perintah mahkamah.

  • oleh
  • Advertisement