Anda di sini

New Zealand kerah pasukan khas cari jururawat diculik Daesh di Syria

Advertisement
AKAVI
AKAVI

WELLINGTON: New Zealand mendedahkan pada Isnin ia telah menghantar satu unit pasukan khas ke Syria bagi mencari jururawat Louisa Akavi yang diculik oleh kumpulan Daesh lebih lima tahun lepas.

Butiran mengenai penculikan telah dirahsiakan se-hingga Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa pada Ahad merayu bagi berita mengenai Akavi berusia 62 tahun dan dua pemandu dari Syria yang diculik pada Oktober 2013.

Mereka menyertai satu konvoi Palang Merah yang menghantar bekalan ke beberapa fasiliti perubatan di Idlib, barat laut Syria, apabila lelaki bersenjata menahan kenderaan dan menculik tujuh orang. Empat daripada mereka dibebaskan pada keesokan harinya.

Timbalan Perdana Menteri New Zealand Winston Peters berkata maklumat mengenai penculikan tidak dikeluarkan sebelum ini kerana bimbang sebarang bentuk publisiti akan meletakkan mereka dalan keadaan yang lebih berbahaya.

Namun beliau berkata dipercayai bahawa Akavi masih ditahan oleh Daesh dan terdapat operasi yang dijalankan bagi mengesan beliau yang termasuk pengerahan satu pasukan kecil pelbagai agensi berpusat di Iraq.

“Ini melibatkan anggota NZDF (pasukan pertahanan New Zealand) terdiri daripada Pasukan Tentera Operasi Khas, dan kakitangan telah melawat Syria dari semasa ke semasa seperti yang di-arahkan,” kata Peters.

“Pasukan bukan perang ini telah memberi tumpuan khusus untuk mengesan Louisa dan mengenal pasti peluang untuk menemuinya.”

New York Times melaporkan Palang Merah mempunyai sebab untuk mempercayai Akavi masih hidup, kerana sekurang-kurangnya dua orang menyatakan telah melihat beliau pada Disember di sebuah klinik di Sousa, salah sebuah kampung terakhir yang ditawan oleh Daesh.

Beberapa saksi berkata mereka melihat beliau menjalankan tugas perubatan di klinik dan hospital di bawah kawalan Daesh, menunjukkan bahawa beliau tidak lagi ditahan di dalam sebuah sel dan boleh menggunakan kemahiran kejururawatan untuk mendapatkan sedikit kebebasan. — AFP

Advertisement