Anda di sini

Kerajaan belum terima maklum balas Duta AS mengenai indikator 'K' - Saifudin

Advertisement
 

JOHOR BAHRU: Kerajaan masih belum menerima maklum balas daripada Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia bagi penjelasan mengenai keputusan negara itu meletakkan Malaysia dalam Indikator ‘K’ berhubung nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 9 April lepas.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) mengesahkan sehingga pagi tadi, Wisma Putra belum lagi menerima sebarang maklum balas daripada pihak Kedutaan AS.

"Belum lagi (terima maklum balas)," jawabnya secara ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Berhubung Isu Global anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Semalam, Saifuddin dilaporkan sebagai berkata keputusan Washington itu dikhuatiri akan memberi pelbagai implikasi negatif terutama kepada sektor pelancongan dan komuniti perniagaan di negara ini.

“Kita sudah nyatakan pendirian tegas sebelum ini bahawa kita sama sekali tidak bersetuju tindakan Washington yang mengklasifikasikan Malaysia dalam senarai ‘K’ mereka yang bermakna rakyat negara itu berisiko diculik atau dijadikan tebusan,” kata beliau selepas rakaman program Ruang Bicara bersama Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Justeru, pihaknya akan memanggil duta AS bagi mendapatkan penjelasan dan berharap daripada pertemuan itu Washington dapat mengubah keputusan berkenaan.

Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, indikator yang dikeluarkan Jabatan Negara AS itu menunjukkan kebimbangan kerajaan AS terhadap potensi penculikan atau situasi tebusan di kawasan-kawasan tertentu di wilayah timur Sabah.

Sementara itu, Saifuddin berkata Kementerian Luar akan melihat untuk mengambil lebih ramai mereka yang berpendidikan dari pelbagai disiplin untuk menjadi diplomat bagi mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ini memandangkan isu globalisasi yang dibincangkan semakin kompleks dan memerlukan lebih ramai pakar dalam membincangkan perkara ini di peringkat antarabangsa. - Bernama 

Advertisement