Anda di sini

Dr Sahruddin Jamal mulakan tugas rasmi sebagai MB Johor

 Dr Sahruddin (tengah) menerima nota serah terima tugas daripada Osman (dua kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri semalam. — Gambar Bernama
AMBIL ALIH: Dr Sahruddin (tengah) menerima nota serah terima tugas daripada Osman (dua kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri semalam. — Gambar Bernama

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor yang baharu, Dr Sahruddin Jamal memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di Kota Iskandar, di sini semalam.

Ketibaan Dr Sahruddin pada jam 9 pagi, disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani, barisan Exco Kerajaan negeri dan para petugas Pejabat Menteri Besar Johor.

Imam Masjid Kota Iskandar Hanafiah Abdul Razak membacakan doa sejurus ketibaan beliau sebelum disusuli majlis serah terima tugas antara bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dan Dr Sahruddin di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Dr Sahruddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata beliau berterima kasih kepada Osman sepanjang 11 bulan berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor sebelum ini.

“Alhamdulillah, selesai penyerahan tugas Menteri Besar Johor antara saya bersama dengan Datuk Osman, ini adalah prosedur biasa.

“Apapun terima kasih kepada semua masyarakat dan Datuk Osman sendiri yang telah bersama-sama kita lebih kurang 11 bulan untuk memastikan segala tugas-tugas sebagai Menteri Besar dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Osman yang juga ADUN Kempas dalam ucapannya pula menasihati Dr Sahruddin supaya memberi fokus kepada tugas dan tidak terlampau mengambil kira polemik luar yang boleh menggugat prestasi kerja.

“Saya tidak terkilan untuk menyerahkan tugas kepada Dr Sahruddin, beliau, saya dapati seorang yang gigih, kuat bekerja, sebab itu saya turut melantik beliau sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri.

“Kita sebagai orang politik dan ketua kerajaan perlu fokus pada kerja, jangan terlampau mengambil kira tentang polemik-polemik luar yang boleh menggugat prestasi kerja kita kerana zaman sekarang zaman elektronik,” katanya.

Kelmarin, Dr Sahruddin, 43, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Dr Sahruddin dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Osman, 8 April lepas. — Bernama