Anda di sini

Batal SKIN: Kerajaan berdepan tindakan undang-undang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSKIN), anak syarikat Prestariang Bhd semalam memfailkan tindakan undang-undang sebanyak RM327 juta terhadap kerajaan kerana pembatalan sebelah pihak membabitkan projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) menerusi ekspropriasi.

Dalam kenyataan semalam, PSKIN berkata jumlah yang perlu dibayar adalah mengikut formula berkontrak dalam Perjanjian Konsesi (CA) yang telah dipersetujui oleh kerajaan.

“Pihak terbabit telah mengadakan beberapa sesi perbincangan namun gagal mencapai penyelesaian muktamad bagi kuantum itu. Sebagai jalan terakhir, Lembaga Pengarah Prestariang ketika ini diwajibkan secara fidusial dan terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk pembayaran kontraknya,” katanya.

PSKIN memperoleh perjanjian konsesi selama 15 tahun pada 9 Ogos, 2017 untuk mereka bentuk, melaksana dan menyediakan kemas kini secara berterusan sistem kawalan sempadan dan imigresen yang lebih baik bagi Jabatan Imigresen Malaysia.

Sistem itu akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) sedia ada dengan fungsi tambahan. Di bawah CA tersebut, PSKIN sepatutnya menerima kira-kira RM3.5 bilion bagi tempoh perjanjian konsesi selama 15 tahun, tertakluk kepada keseluruhan perbelanjaan modal yang dibiayai secara persendirian oleh PSKIN.

Kerajaan hanya perlu membuat pembayaran kepada PSKIN hanya selepas SKIN beroperasi sepenuhnya. PSKIN telah melaksanakan kajian teknikal yang menyeluruh dan kerja-kerja berkaitan projek itu sejak 2014 dengan menanggung sejumlah besar perbelanjaan.

PSKIN juga telah memeterai pelbagai kontrak bersama pihak ketiga untuk melaksanakan projek SKIN. Dalam tuntutan undang-undang itu, PSKIN menyenaraikan obligasi Putrajaya sekiranya projek itu ditamatkan secara sebelah pihak menerusi ekspropriasi.

Prestariang mengulangi pendiriannya bahawa PSKIN tidak pernah ingkar terhadap CA itu. Walaupun perjanjian konsesi itu memakan masa 15 tahun, kerajaan secara sebelah pihak menamatkan CA itu dengan ekspropriasi yang berkuat kuasa 22 Januari, 2019. PSKIN yakin CA itu adalah adil dan munasabah. — Bernama

Advertisement