Anda di sini

Alban, Roslan juara tenis bergu Tertutup Labuan

Advertisement
PEMENANG Kejohanan Tenis Bergu Lelaki Tertutup WP Labuan bersama Mohd Fadzli (tengah).
PEMENANG Kejohanan Tenis Bergu Lelaki Tertutup WP Labuan bersama Mohd Fadzli (tengah).

KOTA KINABALU: Bergu Persatuan Tenis Kuala Penyu (PTKP) Alban Mahiluddin dan Roslan Harjah muncul juara Kejohanan Tenis Bergu Lelaki Tertutup Wilayah Persekutuan Labuan 2019 pada 13-14 April.

Kejohanan yang berlangsung di Kolej Matrikulasi Labuan itu menyaksikan gandingan Alban-Roslan merangkul gelaran juara selepas menumpaskan bergu utama tuan rumah Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim/Mohd Affendi Chin pada perlawanan akhir yang sengit dan menarik.

Diiringi sokongan padu penyokong, pasangan tuan rumah memanfaatkan keserasian mewakili Labuan dalam beberapa siri kejohanan sebelumnya mempersembahkan permain pantas untuk menang mudah set pertama 6-2.

Pasangan Alban-Roslan bagaimanapun bangkit memenanggi set kedua 6-1 dan tidak menoleh ke belakang lagi untuk keluar sebagai juara dengan kemenangan 6-2 pada set penentuan.

“Sebenarnya pada set pertama kami agak tertekan dengan corak permainan pantas bergu tuan rumah yang sudah serasi digandingkan dalam beberapa siri kejohanan sebelumnya. Ini ditambah dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.

"Bagaimanapun, kami terus bersikap positif dan membuat beberapa perubahan strategi serta corak permainan pada set berikutnya sehingga berjaya mengimbangi seterusnya memaksa pihak lawan melakukan kesilapan demi kesilapan. Kami manfaatkan keadaan itu untuk memenangi perlawanan ini," kata Roslan dalam kenyataannya pada Selasa.

Gelaran juara itu menyaksikan Alban/Roslan membawa pulang hadiah wang tunai RM600 dan piala manakala Fadzli/Affendi menerima RM400 dan piala.

Pemenang tempat ketiga dan keempat, Zulhazli Baharum/Saiful Suriano Jumadi dan TK Wong/Sayed Mohd Zawawi Syed Hassan masing-masing menerima RM200.

PTKP dan Persatuan Tenis Keningau adalah pasukan jemputan pada kejohanan selama dua hari itu.

Pengerusi penganjur Mohd Fadzli berterima kasih atas kerjasama sama semua pihak yang memastikan kejohanan itu berlangsung dengan sukses dan memuji semangat kesukanan tinggi yang ditunjukkan semua pemain.

“Bagi pihak penganjur, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para peserta yang telah menunjukkan komitmen dan semangat kesukanan yang terpuji sepanjang kejohanan ini diadakan” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement