Anda di sini

Wanita OKU rentung, rumah panjang terbakar

Advertisement
Penduduk melihat sisa kebakaran rumah panjang yang turut mengorbankan seorang wanita OKU pada malam Ahad.

SIBU: Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) rentung manakala ibunya melecur dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan Rumah Chandi, Sungai Tau di Selangau, malam Ahad.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Riti Jubi, 43, ditemukan rentung di bawah timbunan sisa kebakaran di bilik mereka sendiri oleh anggota bomba.

Ibu mangsa, Diah Bunyah, 80, yang melecur di bahagian belakang badan dan lengan kiri dihantar ke Klinik Kesihatan Selangau sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Insiden kebakaran meranapkan rumah panjang 22 pintu yang dihuni kira-kira 300 penduduk itu dipercayai berlaku sekitar pukul 8 malam.

Ketika kejadian, hanya mangsa dan ibunya sahaja berada di rumah manakala yang lain memberi penghormatan terakhir kepada salah orang penduduk yang meninggal dunia di rumah panjang berhampiran.

Polis memeriksa lokasi kejadian hari ini

Dalam pada itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau Nazari Harun bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.25 malam. 

Katanya, kebakaran dapat dikawal melalui kerja-kerja pemadaman menggunakan pam dan sumber air terbuka melalui air parit berhampira sekitar pukul 11 malam.

"Pihak bomba seterusnya menjumpai mangsa OKU dalam keadaan rentung pada pukul 11.05," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sisa-sia kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.40 pagi dan operasi itu ditamatkan pada pukul 6 pagi.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
 

  • oleh
  • Advertisement