Anda di sini

Tujuh resolusi SOGSE 2019 diserah kepada Abang Johari

 Helmi (kanan) menyerahkan resolusi yang diperolehi dan dicapai sempena SOGSE 2019 kepada Abang Johari.
SERAH: Helmi (kanan) menyerahkan resolusi yang diperolehi dan dicapai sempena SOGSE 2019 kepada Abang Johari.

MIRI: Sebanyak tujuh resolusi yang diperolehi semasa Seminar dan Pameran Minyak dan Gas Sarawak (SOGSE) 2019 dengan tema ‘Now or Never’ telah diserahkan kepada Ketua Menteri  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, untuk dipertimbang dan dibentang di kabinet.

Resolusi berkenaan diserahkan Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datu Helmi Ikhwan sempena perasmian SOGSE 2019 oleh Abang Johari di sebuah hotel terkemuka di sini.

Sementara itu dalam ucapannya pada majlis berkenaan Abang Helmi berkata, syarikat-syarikat tempatan yang terbabit dalam industri minyak dan gas perlu memberi perhatian untuk idea-idea dan cadangan bernas yang dilontarkan dan diberikan sepanjang seminar berkenaan berlangsung.

“Ini  merangkumi dasar (polisi), program dan pelaburan berdaya maju yang perlu diambil kira dan saiz simpanan petroleum kita, pembangunan sistem pelesenan yang baik dan efisien dan paling utama ialah hak dan kepentingan kita terhadap sumber kita sendiri,” katanya.

“Oleh yang demikian, langkah Kerajaan Sarawak menubuhkan PETROS adalah tepat pada masanya,” ujarnya.

Abang Helmi berkata tindakan Kerajaan Sarawak melaksanakan haknya terhadap sumber-sumber petroleum sangat difahami dengan baik oleh semua rakyat negeri ini dengan orang ramai mempunyai pelbagai idea dan pandangan tentang bagaimana ia dapat membantu memakmurkan rakyat dan negeri ini.

Begitu juga dengan para peserta ‘SOGSE 2019 - Now or Never’ kali ini, yang tampil dengan tujuh resolusi yang menyokong Kerajaan Negeri sekali gus membantu ke arah memakmurkan rakyat dan negeri ini.

Tujuh resolusi yang diserahkan kepada ketua menteri itu ialah: 

1. Menyokong usaha Kerajaan Sarawak untuk menegaskan kembali hak pemilikan dan kawalan sumber minyak dan gas Sarawak melalui Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.

2. Menyokong keinginan Kerajaan Sarawak untuk melibatkan diri dengan kerajaan persekutuan ke arah mendapatkan formula yang saling bersesuaian sambil berusaha ke arah resolusi mengenai isu-isu kesahihan supaya tidak mengganggu kemajuan dan pembangunan industri dan perniagaan minyak dan gas Sarawak.

3. Memastikan pembangunan sumber minyak dan gas Sarawak yang mampan, selamat dan terjangkau menerusi pelan induk minyak dan gas Sarawak yang komprehensif, meliputi rantaian nilai minyak dan gas, termasuk mempertimbangkan penubuhan dana kekayaan minyak dan gas yang berdaulat untuk faedah generasi rakyat Sarawak pada masa depan.

4.Menyeru Kerajaan Sarawak meningkatkan Lembaga Pengurusan Mineral Sarawak (SMMA)  bagi memantau, mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang Sarawak yang sedia ada dan merangka undang-undang serta peraturan baharu yang berkaitan dengan semua operasi minyak dan gas di Sarawak dengan tujuan meningkatkan prospektiviti memperoleh, melabur, membangun dan menghasilkan aset minyak dan gas Sarawak.

5. Menyeru untuk penubuhan Majlis Perundingan Petroleum Sarawak yang terdiri daripada spektrum pemegang berkepentingan terutama daripada industri minyak dan gas dengan kerjasama kerajaan dalam memastikan penciptaan nilai maksimum, pengurusan yang berkesan dan pulangan yang bermakna daripada semua aktiviti minyak dan gas dan perkara yang memberi kesan kepada Sarawak.

6. Meminta Kerajaan Sarawak segera mewujudkan asas dan dasar kandungan tempatan dari segi nilai bagi semua kontrak minyak dan gas yang diberikan di Sarawak yang diperuntukkan kepada penduduk asal Sarawak dan memberi keutamaan pekerjaan untuk sumber manusia tempatan serta penggunaan vendor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas Sarawak (OGSE).

7. Untuk menggalakkan inisiatif inovasi yang menyokong pembangunan industri minyak dan gas Sarawak pada masa depan dengan menubuhkan Pusat Inovasi Minyak dan Gas Sarawak (SOGIC) di Miri seperti yang dihasratkan dalam SOGSE 2019.

Pada majlis yang sama, turut diadakan pertukaran dokumen bagi rangka kerja kerangka penubuhan Pusat Inovasi Minyak dan Gas Sarawak (SOGIC) yang melibatkan empat ahli, mewakili syarikat dan institusi terbabit dalam penubuhan SOGIC iaitu Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Serba Dinamik Holdings Berhad Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah; Pengarah Urusan DUBS Holdings Sdn Bhd Osaha Suhaili; Presiden Suarah Petroleum Group (SPG) Jamel Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Naib Pro Canselor Curtin University Kampus Malaysia, Profesor Jim Mienczakowski.