Anda di sini

Takut dimarah isteri kalah judi, lelaki buat laporan palsu dirompak

Advertisement
 

SIBU: Seorang buruh ditahan kerana membuat laporan palsu kononnya dirompak dua lelaki bermotosikal ketika berhenti di Bukit Tunggal Dunin, Jalan Kanowit-Julau-Durin berhampiran Jambatan Durin, dekat sini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu berjaya dikesan anggota polis yang menjalankan siasatan awal terhadap kes tersebut kerana mendapati laporan dibuat oleh lelaki berusia 37 tahun itu meragukan.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit (gambar) dalam laporan awal, suspek mendakwa kejadian itu berlaku sekitar 9.30 malam pada Sabtu semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Rumah Garing, Hulu Naman di Batu 22 dari Sibu Jaya. 

Katanya, suspek mendakwa didatangi dua lelaki bermotosikal ketika berhenti di tepi jalan apabila tayar hadapan keretanya pancit, yang menolaknya serta meminta RM2,000 daripadanya. 

"Hasil siasatan dan tindakan lanjut, suspek mendedahkan kejadian sebenar yang berlaku iaitu bukan dirompak tetapi kalah judi RM2,000.

"Punca lelaki itu membuat laporan (palsu) adalah untuk menyelamatkan diri kerana bimbang isterinya akan memarahi dan menyalahkannya apabila kalah RM2,000 dalam judi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek telah ditahan pada Ahad dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
 

  • oleh
  • Advertisement