Anda di sini

SAPA anjur perhimpunan aman, tuntut bahas usul pindaan Perlembagaan Persekutuan di DUN

Advertisement
(Dari kanan) Soo, Peter, Ng dan Alim pada sidang media mengenai penganjuran 'Perhimpunan Negara Sarawak' yang akan diadakan pada 28 April ini.
(Dari kanan) Soo, Peter, Ng dan Alim pada sidang media mengenai penganjuran 'Perhimpunan Negara Sarawak' yang akan diadakan pada 28 April ini.

KUCHING: Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) akan menganjurkan 'Perhimpunan Negara Sarawak' di Padang Merdeka di sini, pada 28 April ini, bermula 4 petang.

Pengerusi penganjur yang juga Ketua Penerangan dan Publisiti  SAPA Peter John Jaban berkata perhimpunan itu bertujuan menuntut Kerajaan Negeri Sarawak mengemukakan usul untuk membahas Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Selain itu katanya, perhimpunan aman itu menuntut status Sabah dan Sarawak di dalam Perlembagaan Persekutuan dikembalikan mengikut terma-terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ia juga katanya menuntut pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dicadangkan untuk didraf semula bagi mencerminkan Negeri-negeri Borneo sebagai Negara seperti pada tahun 1963 hingga 1976.

"Saya bukannya seorang peguam, tetapi kami mempunyai lebih 10 pasukan perundangan yang memberi khidmat nasihat serta sokongan.

"Kami akan menganjurkan perhimpunan seterusnya yang lebih besar jika kerajaan negeri tidak membentangkan usul untuk membahas perkara ini pada persidangan DUN yang dijadual bermula 28 April ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Justeru, ujarnya SAPA meminta ahli dewan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH) membahas isu tersebut di dewan dan berhenti menuding jari antara satu sama lain menerusi media khasnya akhabar.

Keadaan itu menurutnya akan menyebabkan rakyat berada dalam keadaan tidak tahu sedangkan rakyat mahu rundingan mengenai perkara ini dilakukan secara telus.

"Pada masa ini, perkara itu seperti permainan politik antara peguam dan ahli politik yang kedua-duanya berbahas mengenai susunan kata serta frasa dalam pindaan dicadangkan," ujarnya.

Justeru, beliau menggesa seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan fahaman politik menyertai perhimpunan itu demi kepentingan Sarawak.

"Jika anda fikir anda adalah rakyat Sarawak atau penduduk asal Sarawak, sertailah kami untuk menyampaikan mesej kuat bahawa kita Sarawak yang bersatu, yang mahukan pindaan ini dibahas dalam DUN.

"GPS pernah mengatakan mereka mahu pindaan yang holistik bukan kosmetik, jadi bahas yang betul, perlu," katanya.

Sementara itu, pengasas SAPA yang juga Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Lina Soo berkata tidak timbul persoalan bagi pindaan versi Bahasa Inggeris kerana ia mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai Negara Borneo mengikut Perkara 4 Rang Undang-Undang Malaysia atau Perjanjian Malaysia.

Beliau berkata pindaan baru-baru ini kepada Perkara 1 (2) adalah susunan semula kata-kata seperti dalam Perkara 4 Perjanjian Malaysia.

"Tetapi apa yang kami bantah ialah versi BM (Bahasa Malaysia). Versi BM mengatakan bahawa 'Borneo States' akan diterjemahkan sebagai negeri-negeri Borneo. Seperti yang kita ketahui, Negeri Borneo dalam Bahasa Inggeris di sini boleh bermakna negara walaupun negara mungkin bermaksud negeri, negara atau wilayah.

"Tetapi 'Borneo State' bermaksud negara atau negara dalam BM. Dalam Perlembagaan Persekutuan, versi BM akan mengatasi versi bahasa Inggeris, yang bermaksud Sabah dan Sarawak akan menjadi negeri-negeri Borneo, yang sama dengan Negeri Perlis; sama seperti mana-mana negeri di Tanah Melayu, "katanya.

Soo juga menyebutkan bahawa yang dilampirkan kepada MA63 iaitu Perlembagaan Sabah, di mana Perkara 1 (1) mengatakan bahawa akan ada Ketua Negara Sabah, yang akan dipanggil Yang Dipertua Negara.

"Jadi kita semua ada bukti bahawa 'Borneo States' bermakna Negara. Malah pada September tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temu bual khas mengakui Sarawak dan Sabah dua negara...Kami masih menyimpan rakaman video temubual itu," ujarnya.

Hadir sama Presiden SAPA Dominique Ng dan Setiausaha Pemantau MA63, SAPA Alim Mideh.
 

  • oleh
  • Advertisement